Dua pesawat bertembung di udara, 2 juruterbang maut


  • Benua
  • Ahad, 13 Nov 2022

Bebola api yang dilihat di tempat pesawat era Perang Dunia Kedua terhempas di Dallas, Amerika Syarikat.

Dua buah pesawat bersejarah Perang Dunia Kedua bertembung sesama sendiri ketika mengadakan pertunjukan udara di Dallas, Amerika Syarikat pada Sabtu.

Susulan kejadian berkenaan, dilaporkan sehingga kini, sekurang-kurangnya dua orang mangsa terkorban dalam nahas itu.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA), kedua-dua pesawat itu, Boeing B-17 Flying Fortress dan Bell P-63 Kingcobra sedang mengadakan pertunjukan udara apabila mereka bertembung sesama sendiri di Dallas Executive Airport pada pukul 1.30 petang.

Rakaman video menunjukkan kedua-dua pesawat berkenaan bertembung ketika terbang rendah menyebabkan salah satu daripadanya terputus dua sebelum terhempas.

Sehingga kini, masih tidak dapat dipastikan jumlah sebenar individu yang terdapat dalam kedua-dua pesawat berkenaan.

Persatuan Juruterbang Bersekutu yang turut mewakili juruterbang American Airlines, berkata, dua daripada bekas anggotanya iaitu Terry Barker dan Len Root merupakan antara orang yang maut dalam perlanggaran itu.

Sementara itu, laporan media lain melaporkan bahawa berkemungkinan seramai enam orang maut dalam insiden itu.

Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, Chris Kratovil memaklumkan bahawa dia bersama 4,000 sehingga 6,000 pengunjung tidak pernah melihat orang ramai menjadi senyap dalam sekelip mata.

"Ia berubah daripada keadaan yang riuh menjadi sunyi dan ramai orang termasuk saya sendiri melindungi anak-anak daripada terkena serpihan pesawat itu,” katanya.

FAA berkata, pihaknya akan menyiasat mengenai nahas yang menimpa acara berkenaan.

Sementara itu, Datuk Bandar Dallas, Eric Johnson dalam satu ciapannya di Twitter menyifatkan kejadian berkenaan merupakan tragedi yang dahsyat.

Menurutnya, sehingga kini jumlah mangsa yang terkorban masih belum dapat disahkan.

Manakala, orang ramai yang berada di lapangan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pesawat B-17 memainkan peranan penting dalam kemenangan ke atas Jerman ketika Perang Dunia Kedua.

Pesawat kedua dikenal pasti sebagai pesawat P-63 Kingcobra yang hanya digunakan oleh Tentera Udara Soviet ketika itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram