Pemandu lori maut tercampak di lebuh raya, 5 lagi cedera nahas 6 kenderaan di Nilai


  • 112
  • Sabtu, 12 Nov 2022

Tangkap layar video kemalangan memaparkan kemalangan melibatkan lima buah kenderaan dengan sebuah treler terbalik di Nilai, Seremban.

SEORANG pemandu lori maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 280 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran kilang Recron Malaysia Sdn Bhd, di Nilai, Seremban, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Kejadian berlaku pukul 11.43 pagi itu turut menyebabkan semua empat lorong ditutup sehingga berlaku kesesakan sepanjang tujuh kilometer (km).

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd. Amin Mukhtar berkata, kemalangan melibatkan dua treler, masing-masing sebuah kereta jenis Mitsubishi Outlander, BMW dan Toyota Alphard serta sebuah motosikal.

“Mangsa yang maut merupakan pemandu lori treler iaitu seorang lelaki berusia 43 tahun, manakala empat mangsa dilaporkan cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Manakala dua lagi mangsa dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohd. Amir, pemandu lori maut akibat tercampak dari kenderaannya dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, tular sebuah video di media sosial memaparkan kemalangan melibatkan enam kenderaan termasuk sebuah treler terbalik dan melintang di tengah lebuh raya.

Manakala, menerusi laman Facebook rasmi Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), kerja-kerja membersihkan kawasan kemalangan masih lagi berjalan dan lorong paling kanan sudah mula dibuka untuk kenderaan ringan.

Namun PLUS masih menutup lebuh raya berkenaan dan mewajibkan semua kenderaan keluar melalui Plaza Tol Nilai, dan laluan aliran kontra dibuka bermula KM279.05 hingga KM281.3 menghala ke Utara.

Kesesakan masih berlaku sepanjang tujuh kilometer dan menambah kesulitan, hujan turut dilaporkan mula turun di kawasan berkenaan.

Perkembangan lanjut berhubung kejadian itu daripada pihak polis akan menyusul. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram