[VIDEO] Aksi 'drift' kereta putih bawa padah, seorang lelaki maut, 2 lagi parah nahas langgar lari


  • Benua
  • Rabu, 09 Nov 2022

Tangkap layar menunjukkan kemalangan berlaku mengakibatkan seorang warga emas mati di lokasi kejadian.

SEORANG lelaki berusia 50 tahun dilaporkan mati manakala dua lagi cedera parah berikutan kes langgar lari yang berlaku di Gurugram, Haryana, India baru-baru ini.

Kejadian itu dipercayai melibatkan sekumpulan remaja mabuk yang merempuh ketiga-tiga mangsa terbabit.

Kesemua mangsa rebah di laluan tersebut sebelum salah seorang daripadanya maut di lokasi kejadian.

Mangsa yang terkorban merupakan seorang warga emas dan ketika kejadian, lelaki berkenaan dilaporkan baru sahaja membeli sebotol arak di sebuah kedai berdekatan.

Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), situasi itu hangat diperkatakan di laman media.

Berdasarkan rakaman tersebut, kereta berkenaan dipandu dengan laju sebelum berhenti secara mengejut di hadapan mangsa yang sekali gus menyebabkan ketiga-tiga mangsa dirempuh.

Beberapa orang awam di situ sempat mengelak ketika rempuhan tersebut namun malangnya mangsa gagal meloloskan diri.

Sebaik pelanggaraan itu, suspek terus memecut kenderaan dipandunya.

Bertindak pantas, beberapa pekerja di premis di situ berlari ke arah mangsa bagi memberikan bantuan.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan difahamkan polis telah berjaya menahan kesemua suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Langgar Lari, Warga Emas Mati, Kemalangan,