[VIDEO] Penunggang motosikal terpelanting dilanggar Ford EcoSport


  • Benua
  • Rabu, 09 Nov 2022

Tangkap layar video kejadian nahas yang berlaku di India pada Isnin lalu.

SEORANG penunggang motosikal maut setelah dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu laju di lebuh raya Salem-Chennai, daerah Kallakurichi, India.

Nahas jalan raya berkenaan yang berlaku pada Isnin lalu itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan itu.

Lebih mengerikan, impak daripada perlanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal berkenaan terpelanting ke udara selepas dirempuh kereta Ford EcoSport.

Sementara itu, jurucakap polis tempatan berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Muthusamy, berusia 23 tahun.

"Ketika kejadian, Muthusamy yang menunggang motosikal sedang membuat pusingan U sebelum dirempuh SUV tersebut.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan pihak polis menahan pemandu SUV tersebut yang dikenali sebagai Venkatesan.

"Venkatesan kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin," kata jurucakap itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram