Trak bawa 24 anggota tentera undi awal di PD terbalik, 2 parah


  • 112
  • Selasa, 15 Nov 2022

Seramai 18 daripada 24 anggota tentera terlibat nahas terpaksa dikejarkan ke Hospital Rembau. — Ihsan JBPM

SERAMAI 18 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikejarkan ke hospital selepas terlibat nahas dan terbalik dalam kejadian di Kampung Durian Daun, Rembau, Negeri Sembilan pada Selasa.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat (BBP) berkata, mangsa sebahagian daripada 24 anggota yang menaiki trak ke pusat pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Port Dickson.

“Petugas bomba yang tiba di lokasi kemalangan memberi rawatan awal sebelum kesemua mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan.

“Daripada 18 mangsa yang dihantar ke hospital, dua mangsa di zon merah, tujuh di zon kuning dan sembilan lagi di zon hijau," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

1820276

Keadaan mangsa yang terlibat nahas trak terbalik terpaksa dikejarkan ke Hospital Rembau. — Ihsan JBPM

Katanya, kesemua mangsa dihantar menggunakan lima unit ambulans terdiri daripada dua buah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Seremban dan Tampin serta tiga lagi ambulans KKM dan APM,” katanya.

Tambahnya, enam lagi mangsa yang hanya menjalani rawatan awal di tempat kejadian diserahkan kepada pihak polis dan ATM untuk tindakan seterusnya.

Difahamkan, trak tersebut dalam perjalanan ke Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson bagi tujuan mengundi awal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram