SEORANG ibu tunggal maut selepas dia dilanggar sebanyak dua kali oleh dua kereta berbeza dalam kejadian di daerah Luzhu, Taoyuan, Taiwan pada 6 November lalu.
Nahas ngeri itu berlaku ketika mangsa yang berusia 40 tahun menyeberangi jalan di persimpangan lampu trafik antara jalan Zhongzheng dan Nanzhu, Daerah Luzhu, Bandar Taoyuan pada pukul 10 malam.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan tidak menyedari lampu sudah bertukar menjadi merah kerana sedang leka membelek telefon bimbitnya. Sebuah kereta yang meluru laju kemudiannya melanggar mangsa.
Lebih malang lagi, mangsa yang terbaring atas jalan seterusnya digilis sebuah lagi kenderaan lain. Impak pelanggaran itu menyebabkan Liu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Hasil siasatan awal polis mendapati kedua-dua pemandu tidak berada di bawah pengaruh alkohol.
Memetik laporan media antarabangsa USA Crime, mangsa dikenali sebagai Liu merupakan seorang ibu tunggal yang berpindah ke Taiwan dari tanah besar China kira-kira sembilan tahun lalu.
Selepas melahirkan anak lelaki, dia bercerai dengan suaminya dan bekerja sendiri untuk menyara anaknya yang berusia 9 tahun. Difahamkan, suaminya itu berada kini berada dalam penjara atas jenayah yang tidak dinyatakan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram