Bayi kembar 8 bulan cedera, ibu maut nahas kereta, treler di Sungai Buloh


  • 112
  • Isnin, 14 Nov 2022

Keadaan kenderaan yang dinaiki tujuh sekeluarga terlibat dalam kemalangan berhampiran kawasan R&R Restoran Jejantas Sungai Buloh, pada Isnin. — Ihsan bomba

SEORANG wanita maut manakala suami dan lima anak pasangan itu cedera selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran restoran jejantas Sungai Buloh di Lebuh Raya Utara Selatan menghala Kuala Lumpur, awal pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis dalam kenyataan berkata. pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 6.10 pagi itu dan seramai lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Honda Accord yang dinaiki wanita terbabit bersama enam ahli keluarganya yang melanggar bahagian belakang sebuah treler di laluan sama.

314602846_521726793320072_3587546384517711966_n

Pasukan perubatan memberi pertolongan kepada mangsa kemalangan berhampiran kawasan R&R Restoran Jejantas Sungai Buloh, pada Isnin. — Ihsan bomba

"Akibat kemalangan itu, wanita berusia 38 tahun tersepit di bahagian penumpang hadapan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

"Suami mangsa yang berusia 50 tahun dan anak perempuan mereka berusia 11 tahun dilaporkan parah manakala empat lagi anak mereka termasuk pasangan kembar lelaki berusia antara lapan tahun hingga lapan bulan cedera ringan,” katanya.

Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram