"Merdeka! Merdeka! Merdeka!" laungan anak-anak kecil antara ribuan latar suara Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang teruja dan bersemangat menyambut Hari Kebangsaan 2022 pada Rabu.
Aura keterujaan serta semangat setiap ahli Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum, jelas terserlah apabila tiada ruang kosong di sepanjang lebih satu kilometer laluan perarakan dari Bangunan Sultan Abdul Samad ke pusat beli-belah Sogo, kerana dipenuhi orang ramai yang mahu menyaksikan perarakan dan pertunjukan yang dipersembahkan hari ini.
Suasana hening pagi di Dataran Merdeka sudah meriah seawal pukul 4.30 lagi apabila rata-rata pengujung mula membanjiri kawasan ini untuk bersama-sama menyaksikan acara penuh gilang-gemilang yang bermula tepat pukul 7.30 pagi dengan ketibaan pemimpin negara.
Majoriti pengunjung juga memilih menggunakan perkhidmatan LRT malah sehingga pukul 7.30 pagi, kedua-dua stesen LRT Bandaraya dan Masjid Jamek, Kuala Lumpur, masih lagi sesak dengan penumpang yang tiba.
Ada yang hadir dengan pakaian sedondon mengikut warna Jalur Gemilang, tidak kurang juga mereka yang mengenakan pakaian tradisional malah lebih mencuri perhatian apabila majoriti pengunjung turut membawa Jalur Gemilang masing-masing untuk dikibarkan pada hari penuh sejarah.
Cuaca yang baik, agak redup dan berangin sejak awal pagi juga turut menjadikan suasana sambutan lancar dan memberi keselesaan kepada pengunjung yang hadir.
Jalan-jalan utama menghala ke Dataran Merdeka juga mulai sesak sejak awal pagi, namun dikawal oleh anggota keselamatan yang bertugas.
Selepas dua tahun tiada sambutan Hari Kebangsaan secara besar-besaran, rata-rata mereka meluahkan rasa rindu dengan suasana kemeriahan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.
Bagi, Suhaimi Razak, 45, beliau membawa keluarga termasuk dua anaknya yang masing-masing berusia lima dan empat tahun untuk merasai kemeriahan Hari Kebangsaan, di samping mengimbau nostalgia beliau ketika kecil bersama keluarga menyambut sambutan sama 30 tahun lepas.
Bagi pelajar Tingkatan Lima, Andrew Tan bersama rakan-rakan sekelasnya mengambil kesempatan hari cuti untuk memeriahkan suasana sambutan Hari Kebangsaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram