VIDEO seorang wanita dikenali sebagai Kak Siti yang terpaksa mencari barang terpakai demi kelangsungan hidup meruntun jiwa netizen.
Masakan tidak, suami kepada ibu sembilan orang anak itu terlantar sakit di rumah ekoran mengalami masalah kesihatan yang serius.
Majoriti sebelum ini melaporkan Kak Siti terpaksa berbuat demikian demi menampung hidup sembilan orang anaknya yang masih kecil.
Melihat pada situasi Kak Siti sekeluarga, pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew tidak ketinggalan untuk turun padang dan sama-sama membantu wanita malang itu.
"Sebak menangis rasa hati malam ni dapat berita seorang kakak di Ampang selalu kutip barang terpakai dan duduk lama di tepi jalan.
"Kadang-kadang makan nasi dengan minyak dan air. Suami pula sakit dan dia seorang diri menyara anak-anak.
"Terasa berat ujian hidupnya. Ya ALLAH Ya tuhanku. Kasihan kakak hidup begini dan dia ada memberitahu menerima bantuan zakat sebanya RM600.
"Semenjak suami sakit, hidupnya makin susah dan motosikal pula rosak.
"Saya hadiahkan motor baharu untuknya dan memberikan sedikit belanja rumah. Begitulahkan kehidupan, setiap orang melalui ujian," tulis Ebit Lew di halaman Facebook.
Menurut Ebit lagi, dia tidak dapat membayangkan keadaan Kak Siti yang terpaksa makan nasi dengan air dan minyak.
Pendakwah bebas itu turut berkongsi satu video sebak di akaun TikTok miliknya ketika bertemu dengan Kak Siti dan anak-anaknya yang sedang mencari barang terpakai di tepi jalan.
Menerusi ruangan komen, ramai yang memberikan maklum balas positif terhadap usaha Ebit Lew dalam membantu mereka yang memerlukan.
"Mungkin berkat doa orang ramai, doa kakak ni dan anak dia.
"Tuhan jawab doa mereka melalui ustaz dan tuhan hantar ustaz untuk bantu mereka, terima kasih ustaz," tulis Adrian Edy.
"Semoga ustaz dimurahkan rezeki berlipat kali ganda dan dapat membantu ramai lagi orang yang susah seperti Kak Siti. ALLAH bersama ustaz," kata Mahani Abdul Wahab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram