SEORANG kanak-kanak berusia 10 tahun mengambil tindakan mendukung mayat adiknya berusia dua tahun daripada sebuah hospital di Uttar Pradesh, selatan India berikutan ketiadaan ambulans.
Dalam satu video tular, kanak-kanak tersebut, Sagar Kumar kelihatan membawa mayat kecil itu yang dibaluti dalam selimut putih selepas menerima bedah siasat sambil diikuti bapanya, Praveen Kumar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak polis, mayat, Kala Kumar meninggal dunia pada Jumaat selepas ibu tirinya menolak kanak-kanak itu dengan sengaja ke arah jalan raya kerana tidak henti-henti menangis.
Perkara itu menerima pelbagai respons daripada netizen apabila mereka melihat situasi itu menunjukkan masalah kekurangan kemudahan yang dihadapi sistem kesihatan di negara itu.
"Sungguh memalukan, inilah masalah yang sudah cukup merosakkan masyarakat di negara ini dari peringkat bawahan lagi," kata Dharmendra Kumar.
"Situasi yang cukup menyedihkan dan memalukan, mereka yang bertanggungjawab termasuk pihak berkuasa, perlu dipersoalkan akibat sikap sambil lewa dan kekurangan kemudahan akibat ketirisan," kata R.K. Banskuwa.
"Inilah yang dikatakan sebagai satu bentuk keganasan yang dilakukan terhadap orang ramai tanpa menggunakan kekerasan," kata Vijay.
Sementara itu, jurucakap polis Baghat, Devandra Kumar Sharma berkata, pihaknya menerima informasi daripada orang awam dan telah bertindak menahan ibu tiri itu bagi membantu siasatan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram