IOI City Mall Fasa 2 perkenalkan pusat sukan bertaraf dunia


  • Massa
  • Selasa, 30 Ogos 2022

Voon (tiga dari kiri) bersama bekas pemain badminton kebangsaan, Datuk Rashid Sidek ketika melancarkan Pusat Sukan IOI.

PARA peminat sukan, terutamanya sukan badminton sekitar Putrajaya tidak perlu lagi mencari pusat kemudahan sukan bertaraf dunia apabila mereka boleh mengunjungi Pusat Sukan IOI yang baru dibuka.

Kemudahan yang dibina dengan keluasan 41,375 kaki persegi menampilkan sebanyak 15 gelanggang badminton dan dua gelanggang futsal mini di aras keempat kompleks membeli belah IOI City Mall Fasa Kedua.

Ketua Pegawai Eksekutif IOI Properties Group Bhd, Datuk Voon Tin Yow berkata, kemudahan yang disediakan itu akan meningkatkan jenama Pusat Sukan IOI sebagai satu kawasan tarikan sekaligus menaikkan kemampuan pusat membeli belah itu yang bukan sahaja mampu menjadi pusat hiburan.

"Pusat Sukan IOI ini akan menjadi satu platform yang berfungsi bagi mereka yang mahu mengamalkan gaya hidup sihat dengan kekal aktif sambil memastikan mereka kekal bersosial.

"Kemudahan ini juga menjadi satu pusat yang mampu memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk memilih badminton sebagai satu hobi baru ataupun meningkatkan kemampuan sendiri," katanya ketika majlis pelancaran pusat sukan itu.

Beliau juga berharap pusat sukan itu mampu menarik lebih ramai pelanggan dari dalam dan luar negara sehingga mampu menaikkan lagi nama Putrajaya.

"Fasiliti ini mempunyai potensi untuk menarik pelanggan sehingga ke peringkat antarabangsa sekaligus meletakkan nama Putrajaya sebagai salah satu destinasi pelancongan," katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan gelanggang badminton itu akan menjalinkan kerjasama dengan Kelab Badminton Rashid Sidek (KBRS) dalam usaha membangunkan Akademi Badminton IOI Rashid Sidek, yang juga akan diuruskan lagenda badminton itu.

Datuk Rashid Sidek bakal dilantik sebagai ketua jurulatih dan pengarah yang juga akan melantik jurulatih yang berpengalaman dan berkebolehan bagi meningkatkan kemampuan akademi itu.

"Saya bangga di atas keputusan IOI Properties Group yang membina kemudahan bertaraf dunia ini yang saya pasti bakal menggilap bakat-bakat baharu.

"Di samping itu, pusat sukan ini juga boleh digunakan pemain-pemain elit yang sedia ada dalam meningkatkan keupayaan mereka dalam bersaing di peringkat yang lebih tinggi," kata Rashid.

Di samping itu, pusat sukan ini akan memberikan khidmat pengajian kepada institusi pendidikan, persatuan-persatuan sukan, kelab dan syarikat yang memerlukan kepakaran dalam sukan ini.

Gelanggang badminton ini boleh disewa dengan harga RM25 sejam dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang manakala RM35 sejam bagi sewaan dari pukul 6 petang hingga 11 malam.

Bagi gelanggang futsal pula, pengguna boleh menyewa pada harga RM100 sejam dari pukul 10 pagi hingga 6 petang sementara harga sewaan dinaikkan kepada RM130 sejam dari pukul 6 petang hingga 11 malam.

Mereka yang berminat untuk menyertai Akademi Badminton Rashid Sidek IOI boleh memilih untuk sesi persendirian, separa persendirian mahupun sesi berkumpulan dengan harga bermula RM80 bagi setiap sesi dan caj pendaftaran sebanyak RM50 akan dikenakan.

Potongan harga sehingga 20 peratus juga akan ditawarkan kepada pendaftar awal jika pendaftaran dibuat dari sekarang hingga 30 September nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram