SEDAR bakal jadi medan pemanas badan buat pasukan KL City sebelum ke saingan antarabangsa, pasukan Sabah FC tidak mahu 'berlembut' dengan skuad The City Boys pada saingan Liga Super pada Khamis.
Terdahulu, skuad kendalian Bojan Hodak meraih kemenangan di pentas final Zon ASEAN saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Rabu minggu lalu.
Dengan kisah dongeng jadi kenyataan, sudah tentu anak-anak buah Hodak bersemangat untuk meranapkan barisan Sabah FC agar dapat mengekalkan rentak cemerlang menjelang separuh akhir Antara Zon Piala AFC menentang pasukan India, ATK Mohun Bagan FC pada 7 September.
Peka dengan keadaan itu, pengurus Sabah FC, Marzuki Nasir berkata, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee sudah menyusun atur langkah untuk mematahkan misi KL City.
"Setakat ini, persediaan berjalan dengan lancar. Pemain mahu teruskan momentum kemenangan Sabah FC. Kita tahu KL City bukan lawan yang mudah.
Status kecergasan Embalo masih lagi belum diketahui sama ada dia akan diturunkan atau tidak. — Facebook/ Sabah FC
"Lebih-lebih lagi selepas mereka baru sahaja menang Zon ASEAN di Piala AFC. Datuk Ong Kim Swee sudah merencana strategi untuk mencuri mata daripada perlawanan Khamis nanti," katanya kepada Majoriti.
Mengulas mengenai keadaan barisan pemain Sang Badak, Marzuki berkata, semua pemain dalam keadaan baik kecuali penyerang import mereka, Jose Embalo.
"Semua pemain dalam keadaan 100 peratus bersedia untuk perlawanan. Cuma Embalo mengalami kecederaan semasa latihan.
"Pada Rabu, kami akan melakukan ujian kecergasan dan ketika itu kita akan buat keputusan sama ada Embalo akan turun bersama Sabah FC pada perlawanan ini, atau sebaliknya," katanya.
Sebagai rekod, KL City pernah menewaskan Sabah FC 2-0 pada saingan Liga Super, awal musim lalu.
Sabah FC kini berada di kedudukan kedua liga dengan 35 mata yang dikutip menerusi 16 perlawanan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram