Isu cop parkir berulang, lelaki enggan berganjak jaga petak


  • Tular
  • Selasa, 30 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan perbuatan cop parkir yang berlaku di Padang Kota Lama, Pulau Pinang.

ISU cop parkir seolah-olah tiada berkesudahan dan menunjukka sikap pentingkan diri masih menebal dalam masyarakat Malaysia.

Itu yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini apabila seorang lelaki sanggup berdiri dan enggan berganjak dari petak parkir semata-mata mahu cop tempat letak kereta itu.

Meskipun tiada kenderaan di situ, lelaki tersebut masih kekal berdiri dengan harapan ruang parkir itu tidak diambil mana-mana kenderaan lain.

Kejadian itu yang berlaku di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, mengundang perhatian netizen apabila perkongsian video berkenaan tular di laman TikTok.

Mengundang masalah dalam kalangan pemandu lain, ruang kosong itu terpaksa diberikan padanya tanpa sebarang sifat tolak ansur dan timbang rasa oleh lelaki berkenaan.

Menerima lebih 29,000 jumlah tontonan di laman TikTok, rata-rata netizen meluahkan komen tidak berpuas hati dan sindiran pada individu tidak berhati perut itu.

Zack Palarae berkata, "Senang je, undur ke belakang mesti dia elak, saya pernah buat lepastu keluar kereta buat-buat tak nampak."

Jamalsulaiman883 turut berkata, "Turun kereta marah je dia, ataupun suruh dia bawa balik parkir tu simpan di rumah, kalau saya memang akan buat macam tu."

RaRa menambah, "Kalau saya terus je masuk kotak tu, tengok apa dia nak buat sebab memang dah ada akta mengatakan tak boleh cop parkir ni."

Menurut akta dan undang-undang jalan raya, budaya cop parkir merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana ia adalah hak milik awam, maka tiada individu berhak untuk mendesak atau menghalang kenderaan lain daripada menggunakan petak parkir itu.

Individu yang sengaja melakukan perbuatan itu boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan dan sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, pesalah laku boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan, atau kedua-duanya seperti yang termaktub dalam Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram