NAMA Kuala Lumpur City FC (KL City) menjadi tumpuan dalam bola sepak tempatan terutamanya selepas membelasah kelab Indonesia, PSM Makassar, 5-2, dalam final Zon ASEAN Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Kelab yang pada asalnya tidak mendapat tempat di bibir peminat bola tempatan tiba-tiba menjadi tular dan pengemudinya, Bojan Hodak naik saham apabila disebut-sebut sebagai jurulatih pilihan ramai pada musim hadapan.
Bahkan, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail mengucapkan tahniah kepada skuad Warga Kota yang jelas melakar pencapaian yang membanggakan sekalipun terpaksa beroperasi dengan bajet yang terhad pada setiap musim.
Bagaimanapun, KL City berada di kedudukan kelima setelah mengutip 21 mata menerusi 15 perlawanan setakat ini sekali gus menjadikan mereka bukan pasukan yang garang di Liga Malaysia.
Ini menimbulkan persoalan sama ada KL City hanya bernasib baik ketika menewaskan PSM Makassar dan adakah langkah mereka ke peringkat seterusnya juga bergantung kepada nasib?
Untuk rekod, menanti KL City pada persaingan Antara Zon Piala AFC pada 7 September ini adalah pasukan India, ATK Mohun Bagan.
Mengulas kepada persoalan tersebut, pemerhati sukan, Rizal Hashim berpendapat gelaran 'underdog' tidak seharusnya dipandang enteng kerana peluang mereka untuk cipta satu lagi kejutan itu cerah.
Kejayaan KL City memenangi Piala Malaysia 2021 melayakkannya untuk bertanding di pentas AFC. — Bernama
"Dengan reputasi sebagai juara Piala Malaysia 2021, KL City tidak harus dipandang enteng. Buktinya mereka muncul juara Piala AFC zon Asean dengan menewaskan PSM Makassar.
"Dengan gandingan tenaga import seperti Paulo Josue, Romel Morales dan Jordan Mintah diadun dengan bakat tempatan Irfan Zakaria, Zhafri Yahya dan Akram Mahinan, jangan terkejut jika KL City melangkah lebih jauh.
"Lawan mereka seterusnya ATK Mohun Bagan muncul juara kumpulan yang turut dianggotai kelab dari Bangladesh dan Maldives.
"Bagaimanapun, mereka bukanlah pasukan yang kebal, bahkan tewas di tangan rakan senegara mereka Gokulam Kerala.
"KL City bukanlah pasukan yang kecil. Sebaliknya ia barisan yang kaya dengan sejarah dan tradisi dipelopori oleh Fandi Ahmad dan rakan seangkatannya pada 1987," katanya kepada Majoriti.
Sebagai rekod, kelab itu berjaya menamatkan musim di tangga keenam Liga Super 2021, menang Piala Malaysia dan mendapat slot AFC 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram