"UNTUK menguasai sesuatu, seseorang memerlukan sepuluh ribu jam" demikian kata-kata penulis Kanada, Malcolm Gladewell yang menjadi pegangan gadis cantik bernama Yulina Tan Jade dalam memastikan dia mampu bersaing dalam litar perlumbaan bersama-sama dengan barisan pelumba profesional, suatu hari nanti.
Buat masa ini, pelumba yang aktif di peringkat amatur tersebut mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk mengasah lagi kemahiran dan pengetahuan di litar dengan mengambil kelas di Yamaha Champion Riding School of di Sepang, Selangor.
Yulina juga menjalani latihan selama dua jam bagi satu sesi, satu atau dua kali sebulan di Litar Sepang bersama pasukan Fixer Motorsports bagi memastikan dia sentiasa bersedia untuk menghadapi perlumbaan.
Walaupun mengakui kekurangan dana menyebabkan dia sukar untuk pergi ke peringkat profesional, gadis berusia 29 tahun ini berusaha keras untuk memastikan minatnya itu dapat dilaksanakan.
Bermula daripada menggunakan kesempatan sewaktu bergelar gadis litar untuk mengumpul pengetahuan mengenai dunia perlumbaan, Yulina sempat bertanya tip dengan perlumba profesional seperti Kasma Daniel dan Azwan Malik.
Yulina pernah menjadi gadis payung, kini dia seorang pelumba.
"Saya memang minat dengan motor-motor besar. Lepas saya mengambil lesen motor, saya berkongsi dana dengan ayah saya untuk beli motor berkapasiti 250cc.
"Pada suatu hari, kawan-kawan lelaki saya ajak saya berlumba di litar. Waktu itu saya memang tak ada pengalaman langsung. Sewaktu menunggang dalam litar, saya dapat menyaksikan cara peserta lain ambil selekoh, lutut cecah litar dan mereka laju pintas saya.
"Saya rasa sangat kagum dan bermula dari situ, saya berjanji dengan diri sendiri untuk berlumba dalam litar. Saya jadi gadis litar sekitar tahun 2010 sehingga 2016 setelah direkrut seorang ejen.
"Sepanjang bergelar gadis litar, saya sempat berbual dengan pelumba-pelumba profesional dan mereka ajar saya tentang kepentingan analisis data menerusi lap timer yang diletakkan pada motosikal kami.
"Mereka juga berkongsi tip senaman dan sebagainya. Sebagai seseorang yang masih lagi melakukan sukan ini sebagai hobi, saya kekurangan masa kerana saya ada kerja tetap yang lain," jelasnya kepada Majoriti.
Menurut Yulina, setiap sesi latihan memerlukannya untuk mengeluarkan dana sebanyak RM2,000 manakala setiap perlumbaan memerlukan sekitar RM15,000 perbelanjaan yang meliputi pelbagai aspek perlumbaan.
Tangkap layar TikTok Yuslina yang menceritakan tentang pengorbanannya demi minat pada perlumbaan litar.
Oleh kerana itu, dia yang kini bekerja di sebuah kasino gemar mengambil syif berganda bagi memastikan dia sentiasa ada dana untuk meneruskan minatnya itu.
"Saya bekerja mengikut syif lapan jam. Dari pukul 12 tengah hari sampai 8 malam, saya akan melakukan kerja pembahagi daun terup di sebuah kasino.
"Pada lapan syif seterusnya, dari pukul 8 hingga pukul 12 tengah malam, saya menjadi pelayan (waitress) di situ.Saya juga korbankan cuti umum supaya dapat jana duit lebih.
"Perasaan berlumba dalam litar beri saya kepuasan. Pengalaman berlumba juga mematangkan saya," katanya yang juga pernah mengalami retak tulang pipi, patah tulang bahu dan tangan sepanjang bergelar pelumba amatur.
Bagi sesiapa yang mahu menyertai kancah perlumbaan litar, berikut merupakan beberapa aspek yang perlu diambil kira, menurut Yulina.
Yulina tidak gentar untuk bersaing dengan pelumba lelaki.
1. Dana
Seperti diketahui umum, perlumbaan litar memerlukan banyak dana. Jika berminat untuk menyertai perlumbaan litar, kena bersiap sedia dari aspek ini. Perbezaan peringkat amatur dan profesional ialah di peringkat amatur, kita bayar untuk berlumba, di peringkat profesional, kita dibayar untuk berlumba.
2. Risiko kecederaan
Sebagai perlumba, seseorang itu kena bersiap sedia menghadapi kecederaan. Perkara ini asam garam dalam dunia sukan lasak ini, jadi perlu tahu risiko yang diambil apabila bersetuju untuk berlumba di litar.
3. Kata-kata orang
Kekuatan mental sangat penting terutama buat perlumba wanita kerana mereka menganggap sukan ini tidak sesuai untuk golongan kami.
Secara personal, Yulina pernah kecil hati dengan kata-kata orang. Sebagai wanita di dunia perlumbaan, dia pernah digelar cat calling. Namun, lama kelamaan dia faham bahawa setiap orang melihat dunia menerusi lensa mereka sendiri dan itu realiti bagi mereka, bukan kebenaran. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram