PERTEMBUNGAN pasukan-pasukan dalam saingan Liga Super minggu ini bakal menyaksikan beberapa perlawanan tumpuan dalam kalangan penonton.
Salah satu perlawanan yang dijadualkan bakal menampilkan pertemuan antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC dalam perlawanan 'The Northern Derby' pada Sabtu ini.
Kedua-dua kelab itu pasti membawa misi yang tersendiri dalam usaha menambah baik kedudukan mereka dalam Liga Super selain mahu memastikan pasukan mereka menempa nama sebagai pasukan terbaik di kawasan itu.
Persoalannya, siapakah di antara kedua pasukan ini yang mempunyai kelebihan dalam mendorong para pemain untuk muncul sebagai pasukan terbaik dalam pertembungan sengit itu?
1. Kedah Darul Aman FC
Selepas mengharungi kempen yang padat tetapi mengecewakan, skuad Sang Kenari pasti mahu menamatkan kempen mereka dengan lebih cemerlang berbanding kedudukan mereka di tempat ketujuh ketika ini.
Penyingkiran awal dalam saingan Piala FA memaparkan kegoyahan mereka dari segi kualiti dan kuantiti pemain dalam memberikan saingan dan cabaran hebat kepada pasukan-pasukan lain.
Oleh itu, anak buah Aidil Sharin Ishak pasti mahu memberikan cabaran yang sengit kepada lawan-lawan mereka akan datang bagi membolehkan mereka menamatkan kempen ini dengan semangat yang berbeza bagi menghadapi musim depan.
Pertembungan menentang Penang FC ini bakal menjadi perlawanan ke-15 mereka dalam saingan Liga Super dan para pemain dan staf kejurulatihan pasti mahu menunjukkan semangat yang tersendiri dalam usaha mengutip tiga mata penuh.
Kemampuan Ngah Wanja (kiri) pasti diperlukan Sang Kenari dalam pertembungan ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC
Selepas mengharungi episod-episod kekalahan termasuk penyingkiran di saingan Piala AFC baru-baru ini, pengendali pasukan itu semestinya mengharapkan setiap pemain untuk menunjukkan kesungguhan dalam mencatatkan kejayaan.
Di samping itu, kemarau kemenangan juga mampu menjadi dorongan dan motivasi kepada pemain apabila mereka pasti mengharapkan kemenangan ke atas pasukan tercorot itu bagi memberikan sedikit peluang untuk layak ke pentas Asia musim depan.
Tidak cukup dengan itu, para pemain pasti memahami kepentingan untuk mencapai kejayaan dalam pertembungan derbi ini bagi menempatkan nama mereka sebagai pasukan yang terbaik dalam ranjau itu.
Selain itu, KDA FC juga mempunyai kelebihan tersendiri apabila perlawanan itu bakal berlangsung di Stadium Darul Aman yang pasti dipenuhi para penyokong skuad Hijau Kuning.
Sokongan dan dorongan yang bakal diberikan para penyokong di stadium itu nanti mampu menjadi pembakar semangat kepada para pemain dan staf kejurulatihan bagi menyajikan persembahan terbaik kepada mereka yang hadir.
Selain itu, peminat bola sepak tempatan juga pasti memahami kepentingan pertembungan itu apabila setiap penyokong mahu menunjukkan kekuatan dan kebolehan mereka dalam setiap derbi yang berlangsung.
2. Penang FC
Selepas mengharungi kempen cemerlang pada musim lepas, Penang FC mengharungi kempen yang mengecewakan selepas hanya berada di kedudukan terakhir liga selepas 16 perlawanan liga.
Pasukan yang hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan sepanjang musim itu seakan-akan tidak mempunyai sebarang harapan untuk memperbaiki posisi mereka dengan tujuh mata yang berjaya direkodkan setakat ini.
Pertukaran ketua jurulatih di pertengahan musim jelas tidak memberikan hasil yang diingini apabila keadaan dan situasi mereka terus terperangkap di kedudukan terbawah carta liga meskipun berjaya mendapatkan khidmat jurulatih berkaliber, Datuk Zainal Abidin Hassan.
Namun, mereka pasti tidak akan bertindak untuk mengibarkan bendera putih terlalu awal apabila mereka pasti memahami kepentingan pertembungan penting itu bagi menunjukkan kemampuan mereka terhadap musuh seteru itu.
Berdasarkan prestasi ketika ini, barisan penyerang Penang FC mula menunjukkan kemampuan apabila berjaya menjaringkan enam gol dalam tiga perlawanan sebelum ini yang menunjukkan pendekatan Zainal Abidin sedikit sebanyak membuahkan hasil.
Jentera yang dibarisi penyerang import, seperti Hilal El-Helwe dan Lucas Silva ini pasti mahu menunjukkan kebangkitan mereka dalam perlawanan getir ini bagi memberi harapan kepada penyokong yang bakal hadir ke Stadium Darul Aman.
Penyokong Penang FC pasti mahu pasukan itu bangkit selepas kekalahan di Stadium Bandaraya — Facebook/Penang FC
Selain itu, skuad Harimau Kumbang pasti berazam untuk 'menyambar' Sang Kenari selepas mereka dimalukan dalam pertembungan dua pasukan itu pada awal musim di hadapan penyokong sendiri.
Kebangkitan yang dicatatkan KDA FC dalam perlawanan itu menerusi dua jaringan penyerang, Ronald Wanja memastikan Penang FC hanya mampu membawa kekecewaan meskipun sudah bermain dengan baik.
Oleh itu, pemain dan barisan kejurulatihan pasti akan membawa harapan dan semangat ini dalam usaha merencatkan kemaraan pasukan Hijau Kuning untuk memperolehi kemenangan di tempat sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram