
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel di sebuah stor di Jalan Bunga Raya, Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah.
Anggota penguatkuasa KPDNHEP memantau kegiatan di lokasi itu selama seminggu sebelum melakukan serbuan pada Selasa.
Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, hasil serbuan menemui 1,610 liter diesel dalam tangki, tong minyak dan jerrycan dalam serbuan pukul 11.30 pagi itu.
Menurutnya, pihak penguatkuasa turut menemui pam elektronik yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel berkenaan.
“Kami menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik barang kawalan itu semasa operasi dijalankan.
“Lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau lesen sah yang membenarkannya menyimpan diesel itu,” katanya sambil menambah barang rampasan dianggarkan lebih RM3,500.
Suspek akan disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mempunyai barang kawalan tanpa lesen dengan tujuan menjalankan urus niaga.
Lelaki itu turut disiasat mengikut Seksyen 20 (1) Akta sama kerana menyimpan barang itu di lokasi tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Beliau menegaskan bahawa di bawah Akta itu, mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
"Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
"Kementerian tidak teragak-agak untuk menggantung lesen pengusaha stesen minyak yang disyaki terlibat dalam penyelewengan sehingga siasatan selesai dijalankan," tambahnya.
George berkata, KPDNHEP Sabah akan meningkatkan pemantauan bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan di negeri itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram