Tajuddin perlu berehat, bukan pecah belahkan parti


  • Politik
  • Rabu, 29 Jun 2022

Muhamad Muqharabbin (kiri) dan Shahrul Nasrun tidak bersetuju dengan kenyataan Tajuddin.

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diminta untuk tidak memecah belahkan solidariti dan perlu menghormati institusi parti.

Perkara itu ditegaskan Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Exco Pemuda Umno, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin.

Menurut Shahrul Nasrun, pemimpin dan ahli Umno diharap tidak menjadi duri dalam daging kepada parti.

"Janganlah kita sesekali menjadi penghalang dan mula memecah belahkan parti keramat ini. Ingat bahawa kita semua telah bersetuju bahawa misi utama kita adalah memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

"Adalah tidak wajar melabelkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai tamak kuasa, sedangkan Presiden Umno itu memahami seni politik sehingga berjaya meletakkan semula parti dipuncak kuasa.

"Inilah yang kita namakan seni silat dalam berpolitik, tidak segalanya kita perlu zahirkan, tekanan yang diberikan kepada “Kerajaan Muhyiddin” dengan mewujudkan naratif bahawa Umno akan menyokong Anwar Ibrahim telah membawa kepada pelantikan Ismail Sabri selaku Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri.

"Pengurusan yang tidak cekap Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri ketika krisis pandemik Covid-19 memuncak, telah menyebabkan Muhyiddin meletakkan jawatan dan menjadikan Ismail Sabri daripada Umno sebagai Perdana Menteri," kata Shahrul Nasrun.

Terdahulu, Tajuddin mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.

Beliau yang digugurkan daripada jawatan itu Selasa lalu menerusi satu surat mendakwa segala keputusan mesyuarat MKT Umno selama ini bukan kehendak ahli MKT, sebaliknya adalah kehendak Ahmad Zahid sendiri.

Selain itu, Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan turut mendedahkan wujud memorandum untuk meminta Ahmad Zahid melepaskan jawatan presiden parti.

Katanya, memorandum itu susulan pertemuan diketuai Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mei 2020.

Sementara itu, Muhammad Muqharabbin, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memecat Ahli Parlimen Pasir Salak itu adalah amat tepat.

"Saya menghormati beliau sebagai orang lama dalam parti, tetapi tindak-tanduk dan sikap yang telah beliau tunjukkan itu membuktikan beliau tidak selayaknya memegang jawatan dalam MKT bahkan saya menyarankan agar beliau tidak perlu dilantik menjadi duta di Indonesia.

"Cukup-cukuplah memegang jawatan dalam parti dan juga kerajaan, berilah ruang dan peluang pemimpin lain pula untuk berkhidmat," katanya.

Menurut Muqharabbin, ramai pemimpin lain atau bekas pegawai tinggi kerajaan yang lebih layak dan boleh dilantik sebagai duta Malaysia ke Indonesia.

"Jangan hanya kerana ingin menjaga hati kawan-kawan, nama parti dan imej negara terpalit sekali lagi dengan kenyataan-kenyataan yang tidak matang dan memalukan.

"Sebagai pemimpin, kita sudah terikat dengan amanah dan janji, bila dibuka segala minit mesyuarat hanya kerana dilucutkan jawatan, itu hakikat menunjukkan beliau (Tajuddin) adalah pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan tidak amanah," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram