PEPATAH susu dibalas tuba nampaknya sesuai buat Jamal Mirdad, 31, seorang lelaki dari Desa Pinang Sebatang, Kabupaten Bangka Tengah, Indonesia yang bukan sahaja membunuh ibunya, malah mendera mayat wanita yang melahirkannya itu.
Kejadian tragis itu berlaku kira-kira pukul 2 pagi selepas Jamal yang dalam keadaan mabuk pulang daripada berhibur dengan rakan-rakannya di sebuah pusat pelacuran.
“Semasa masuk ke dalam rumah, dia melihat ibunya, Pauziah sedang tidur di ruang hadapan rumah,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Bangka Tengah, Ajun Komisaris Polisi Wawan Suryadinata seperti dipetik bangkapos.com.
Polis membuat pengecaman mayat wanita yang ditemukan mati di kediamannya di Desa Pinang Sebatang. — Agensi
Melihat keadaan ibunya yang sedang tidur lena, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, tiba-tiba bertindak menutup mulut dan menekan hidungnya dengan tangan sehingga wanita tersebut meninggal dunia.
“Mangsa dipercayai sempat melawan berdasarkan kesan parut pada hidung. Tidak terhenti di situ, Jamal dipercayai turut melakukan perkara sumbang terhadap mayat ibunya.
“Berdasarkan bedah siasat didapati ada semacam luka pada kemaluan mangsa,” tambah Wawan.
Selepas memastikan ibunya tidak bernyawa, Jamal kemudiannya mengambil sejumlah barang berharga milik wanita terbabit.
Jamal mengaku membunuh ibunya kerana menginginkan harta wanita itu. — Agensi
Menurut Wawan, suspek berbuat demikian kerana mahu menutup perbuatannya dan mereka-reka senario seolah-olah ibunya dibunuh oleh 'perompak' yang memecah masuk rumah mereka.
“Jamal memecahkan tingkap rumah dengan parang bagi menguatkan lakonannya,” kata polis.
Kira-kira pukul 2.40 pagi, suspek kemudian menghubungi abangnya, Sopian memaklumkan bahawa ibu mereka meninggal dunia kerana dibunuh pencuri, namun panggilannya tidak dijawab.
Dia kemudian menelefon rakannya bernama Can sebelum memaklumkan kejadian itu kepada jiran tetangga.
Pihak polis yang menjalankan siasatan lanjut mendapati Jamal adalah suspek yang melakukan pembunuhan itu sebelum menahan lelaki berkenaan.
Katanya, suspek masih boleh menyanyi sebaik ditangkap polis. Dia menyanyikan lagu bertajuk Keramat nyanyian Rhoma Irama semasa duduk di sofa balai polis Simpangkatis.
Sopian, 35, memeluk Jamal yang menjadi suspek pembunuhan ibu mereka selepas proses lakonan semula adegan pembunuhan itu di Ibu Pejabat Polis Bateng. — Agensi
"Lagu itu dinyanyikan suspek ketika mengakui perbuatannya. Dia mendakwa sangat menyesal di atas tindakannya itu," tambah Wawan.
Wawan memberitahu, suspek mengaku motif pembunuhan itu bagi mengambil harta milik ibunya.
"Hasil siasatan mendapati Jamal berasa jengkel dengan ibunya yang sering memarahinya kerana menggadaikan geran rumah.
"Jadi diketahui suspek banyak berhutang kerana berjudi dan itu yang mendorongnya membunuh mangsa," katanya sambil memberitahu, polis menemukan gelang emas seberat 20 gram dan wang tunai berjumlah Rp 1.9 juta (RM563.78) dipercayai milik Pauziah.
Kes pembunuhan kejam yang dilakukan Jamal menjadi muka depan akhbar Bangka Pos pada 25 Jun lalu. — Agensi
Sementara itu, Ketua Kampung Desa Pinang Sebatang, Ahmad Nakar memberitahu, suspek mengampil upah bermain instrumen organ dan menjadi pengacara majlis jika ada acara keramaian.
"Dia tiada pekerjaan tetap dan sering dan meminta wang daripada ibunya yang mempunyai perniagaan kedai runcit di hadapan rumah.
"Arwah ibunya banyak berkorban harta buat Jamal yang juga merupakan anak bongsu.
"Malah, Pauziah pernah menjual ladang kelapa sawit untuk membiayai Jamal yang ketika itu mahu mengikuti uji bakat nyanyian dangdut di Jakarta.
"Penduduk di sini memang tidak menyangka Jamal tergamak memperlakukan ibunya sedemikian," ujarnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram