SERAMAI 52 banduan terbunuh dan 26 lagi cedera dalam kejadian kebakaran yang berpunca akibat banduan merusuh di barat daya Colombia pada Selasa.
Pengarah Penjara Colombia, Tito Castellanos berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi ketika banduan merusuh dan cuba menghalang polis memasuki kawasan penjara.
"Banduan yang merusuh telah membakar tilam kerana tidak mahu polis memasuki penjara. Akibatnya, selain banduan, enam pegawai penjara cedera akibat melecur terkena api dan menghidup asap," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Kesihatan Valle Del Cauca, Cristina Lesmes berkata, pihaknya telah merawat kira-kira 26 individu dan mengesahkan bahawa 52 individu maut.
"Ada banduan yang melecur hampir seluruh badan dan perkara ini adalah serius kerana jumlah yang cedera adalah ramai," katanya.
Sementara itu, Menteri Kehakiman, Wilson Ruiz berkata, kejadian berpunca bukan kerana adanya cubaan melarikan diri oleh banduan.
"Rusuhan tercetus ekoran pergaduhan antara banduan yang menyaksikan seorang daripada mereka membakar tilam sebelum tercetusnya kebakaran," katanya.
Untuk rekod, terdapat 180 banduan di bahagian penjara yang terlibat dengan kebakaran.
Sementara itu, puluhan ahli keluarga banduan juga telah hadir ke kawasan penjara untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan ahli keluarga mereka. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram