Saddil 'back-up' Jordi ke JDT demi Asean


  • Podium
  • Rabu, 29 Jun 2022

Saddil (kiri) menyifatkan perpindahan pemain Jordi Amat ke JDT sebagai satu keputusan yang baik.

PEMAIN sayap Sabah FC, Saddil Ramdani menyifatkan perpindahan pemain Jordi Amat ke Johor Darul Takzim (JDT) sebagai satu keputusan yang baik buat karier pemain itu memandangkan ia merupakan kelab terbesar di Asia Tenggara.

“Kita tahu JDT adalah pasukan terbesar di Asean dengan kualiti yang sangat baik jadi ia pastinya keputusan terbaik buat dirinya.

"Saya yakin semua pasukan juga mahu mencontohi JDT dan berharap dapat menjadi seperti mereka pada masa hadapan," katanya dalam rakaman temubual ringkas selepas aksi Sabah FC menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Selasa.

Rakaman itu dimuat naik di Facebook HarimauMalaya.

Sementara itu, Saddil meluahkan rasa bersyukurnya selepas pasukannya berjaya mencuri satu mata daripada Selangor FC di tempat lawan dalam perlawanan Liga Super itu.

Pemain berusia 23 tahun itu berkata, dorongan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dan juga pemain-pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar dan Amri Yahyah telah memberi motivasi kepada mereka untuk mengikat kedudukan selepas ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

Saddil juga turut berterima kasih kepada penyokong yang hadir untuk memberi sokongan kepada beliau dan rakan-rakan pada perlawanan itu.

Sementara itu, Saddil menjelaskan bahawa kelewatannya pulang ke Sabah FC selepas aksi antarabangsa tempoh hari adalah disebabkan dia menghabiskan masa bersama keluarganya.

Menurut Saddil, dalam tempoh setahun ini beliau jarang pulang ke kampung halaman, jadi itu adalah satu kesempatan buatnya untuk berjumpa keluarganya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram