BARU-BARU ini tular di media sosial video yang memaparkan kanak-kanak di sebuah tadika yang melakukan cabaran #makehimwannamarryme di TikTok dan mendapat kecaman ramai.
Video tersebut menunjukkan dua kanak-kanak tadika melakukan trend sarung cincin dan menari sambil menutup muka tanda malu.
Selain video tersebut, tular satu lagi video yang menunjukkan sekumpulan kanak-kanak ditolak dengan kasar oleh seorang jemaah masjid.
Difahamkan, lelaki berkenaan berbuat demikian kerana kanak-kanak berkenaan mengganggu khusyuk jemaah ketika sedang solat berjemaah.
Susulan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary mengakui agak sukar menerima kewujudan video melibatkan kanak-kanak pra sekolah itu.
Malahan, beliau juga kesal dengan tindakan pihak yang mengeksploitasi kanak-kanak semata-mata untuk content di media sosial.
"Dunia hari ini, kanak-kanak juga telah didorong untuk menyahut cabaran di TikTok dan ia tidak seharusnya dipandang ringan," katanya menerusi perkongsian di Facebook, pada Rabu.
Ahmad Marzuk juga mengaitkan kritikan yang dilemparkan terhadap kanak-kanak sebagai sesuatu yang tidak perlu kerana ia akan menjauhkan lagi generasi muda untuk hadir ke masjid.
"Anak kecil yang hadir ke masjid, sukarela atau terpaksa, berbaris lurus di saf atau melompat terpekik, kesemuanya adalah permata yang kita perlu santuni.
"Tahun ini sahaja, kita ada 6,850 masjid di seluruh negara. Sedihnya, kebanyakan masjid-masjid ini, jarang kita jumpa jemaah masjid yang melebihi satu atau dua baris saf untuk solat jemaah.
"Maksudnya apa? Tak sampai lima ke 10 peratus pun jumlah penduduk setempat yang mahu ke masjid. Dalam jumlah yang ada itu pula, kehadiran golongan pesara dan warga emas adalah pemandangan biasa," katanya.
Menurut Ahmad Marzuk, tidak layak untuk sesiapa pun bertanya di mana anak muda, jika ada jemaah yang tidak mesra anak kecil.
"Kesian sungguh anak-anak kecil ini, dijamu dengan tengkingan, marah-marah dan pandangan negatif jemaah yang lebih dewasa.
"Sikap kita inilah yang menghalang langkah anak remaja kita ke masjid walaupun masjid itu hanyalah di sebelah rumah mereka," katanya.
Sementara itu, Ahmad Marzuk juga berkata, pendidikan Islam tidak cukup dengan hanya di sekolah, sebaliknya masjid adalah tempat terbaik untuk membentuk anak muda untuk menyambung perjuangan Islam.
Tambahnya, mereka ini yang akan menjadi benteng agama ketika anak-anak muda lain hanyut dengan arus hedonisme yang rancak menyerang pemikiran anak muda Islam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram