DUA suspek perompak maut dan enam anggota polis cedera susulan kejadian berbalas tembakan dalam insiden rompakan sebuah bank di British Columbia, Kanada pada Selasa.
Dalam kejadian pukul 11 pagi waktu tempatan itu di Bank of Montreal di Saanich, di Pulau Vancouver, pihak polis turut mengarahkan penduduk dan pemilik perniagaan di kawasan berhampiran untuk berpindah ke lokasi selamat ekoran kebimbangan kumpulan perompak itu membawa bahan letupan yang disembunyikan dalam kenderaan mereka.
Ketua Polis Saanich, Dean Duthie berkata, suspek menggunakan senjata berat dan baju kalis peluru ketika melakukan rompakan tersebut tetapi beliau tidak menyebut jumlah sebenar perompak yang terlibat dalam insiden itu.
Tambahnya, kesemua anggota polis yang cedera kini dirawat di hospital dan ada antara mereka yang mengalami kecederaan serius.
Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan polis.
Sementara itu, Perdana Menteri Justin Trudeau menerusi satu kenyataan di Twitter berkata, beliau terkejut dan sedih dengan insiden keganasan itu.
"Saya terkesan dengan melihat anggota polis yang cedera dalam insiden pada Selasa dan rakan sekerja mereka yang turut menempuh bahaya bagi memastikan keselamatan orang ramai," kata Trudeau. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram