Ustaz mengaku tak salah 17 tuduhan rogol, amang seksual 2 beradik di Prai


Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. — Sinar Harian

SEORANG warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang kerana didakwa terlibat dalam 17 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak beberapa tahun lalu.

Ashaari Ibrahim, 74, yang juga merupakan seorang guru mengaji dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah di Seberang Perai Tengah di antara tahun 2014 hingga 2021.

Kesemua pertuduhan melibatkan mangsa yang juga dua beradik itu disebut di dua mahkamah berasingan pada Rabu.

Di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh menghadapi enam pertuduhan iaitu tiga merogol dan tiga amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di antara 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Syeqal Che Murat dihadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan, bagaimanapun tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

Noor Aini menangguhkan kes sehingga 29 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam terhadap tertuduh.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, Ashaari dituduh melakukan 11 kesalahan iaitu tujuh merogol dan empat amang seksual fizikal terhadap kakak kepada mangsa pertama di antara 1 Januari 2014 hingga awal Mac 2021.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja itu melakukan kesalahan tersebut sejak mangsa berusia lima tahun.

Pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Aisyah berkata, tiada jaminan ditawarkan kerana terdapat sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak lagi yang menjadi mangsa tertuduh.

"Sekiranya tertuduh dibenarkan diikat jamin, ada kemungkinan dia boleh mengganggu mangsa, dan ini boleh menyebabkan mangsa enggan tampil memberikan keterangan kepada polis.

"Oleh itu, saya merayu supaya tiada jaminan diberikan,” katanya.

Katanya lagi, tertuduh dan kedua-dua mangsa tiada ikatan dan hanya tinggal berdekatan di kampung yang sama.

Tertuduh yang tidak mempunyai peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan merayu agar diberikan ikat jamin kerana mempunyai seorang isteri yang sedang sakit.

Kes ditangguhkan pada 29 Julai ini untuk serahan laporan perubatan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram