Penagih dadah jadi punca kemusnahan kemudahan awam di ibu kota


  • Primer
  • Selasa, 24 Mei 2022

Antara vandalisme yang didakwa angkara penagih dadah di sekitar ibu negara.

PENAGIH dadah dipercayai menjadi punca kepada beberapa kemusnahan kemudahan awam yang telah dibangunkan untuk mengindahkan lorong dan kawasan bahu jalan di sekitar Kuala Lumpur.

Malah, beberapa sukarelawan yang hadir memberi makan kepada gelandangan dan pekerja pembersihan juga mengesahkan terdapat penagih dadah yang memecahkan pasu bunga dan merosakkan lampu jalan di sekitar Lebuh Pudu dan Jalan Tun HS Lee.

Seorang gelandangan yang enggan namanya didedahkan memberitahu, dia sudah muak dengan orang ramai yang menyalahkan gelandangan atas perbuatan vandalisme.

"Saya tinggal di sini dan ini rumah saya. Jadi, saya tidak akan memusnahkan barang-barang di sini," kata lelaki yang sudah setahun tinggal di jalanan.

Seorang lagi gelandangan yang tinggal di sekitar Lebuh Pudu berkata, dia suka tidur di atas bangku pada waktu malam dan menyedari pihak berkuasa tempatan telah mencantikkan bahagian belakang lorong.

Seorang wanita yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, dia yang pergi ke Lebuh Pudu untuk mengambil makanan percuma kepada keluarganya juga tidak bersetuju jika golongan gelandangan dituduh melakukan vandalisme.

"Saya datang pada pukul 8 pagi dan hanya pulang kira-kira pukul 8 malam. Golongan gelandangan merupakan kawan saya dan mereka sangat gembira di sini serta tidak akan memusnahkan apa-apa yang disediakan," tambahnya.

Projek pengindahan oleh Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Lorong Bandar 11 rosak baru-baru ini.

Seorang pekerja Think City, yang enggan namanya didedahkan berkata, dia mendapat tahu daripada gelandangan bahawa ia adalah kerja penagih dadah.

Bagaimanapun, kejadian tersebut bukan pertama kali berlaku dan sebelum ini juga terdapat beberapa kemudahan awam yang dimusnahkan.

Seorang pekerja Alam Flora memberitahu bahawa dia pernah melihat seorang lelaki memecahkan pasu bunga di kawasan itu.

Pengurus kedai ubat Cina berhampiran Pasar Besar, C. Nan berkata, terdapat individu yang telah merosakkan jam lama yang terdapat di luar premisnya.

"Kami tidak tahu siapa yang melakukannya, tetapi jam itu mempunyai nilai sentimental kepada kami. Bapa saya memasangnya 20 tahun lalu semasa dia mengubah suai kedai yang sudah 30 tahun berada di sini.

"Kami tidak bercadang untuk membaiki jam itu kerana bimbang ia akan rosak lagi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, individu yang merosakkan kemudahan awam boleh berada di bawah pengaruh dadah.

"Kami tidak akan tahu melainkan ujian air kencing dilakukan. Tetapi penggunaan dadah boleh menjejaskan otak dan mengganggu keadaan fizikal serta mental seseorang.

"Sebagai contoh, syabu yang boleh menjejaskan fungsi neuron otak dan boleh menyebabkan kemurungan, tingkah laku agresif serta halusinasi," katanya.

Beliau menambah bahawa 30 peratus daripada banduan yang menjalani hukuman telah mengambil dadah ketika ditangkap.

Muhamad Sade menasihatkan, orang ramai yang mengesan individu berkemungkinan berada di bawah pengaruh dadah supaya menghubungi talian hotline AADK (03-89112233) atau WhatsApp 019-626 2233. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram