Satu sen duit konsert pun saya tak ambil - Nizam Laksamana


  • Hiburan
  • Selasa, 24 Mei 2022

Nizam Laksamana nafi dana yang dikumpul dalam penganjuran Konsert Legenda 3.0 akan diberi kepada isterinya.

BUKAN sahaja terpaksa bergelut mencari penaja bagi mengadakan sebuah konsert amal, tetapi dituduh pula ibarat menjual derita isteri untuk mengumpul sumbangan.

Itu yang terpaksa dihadapi oleh penyanyi, Nizam Laksamana ketika dia berjuang untuk menganjurkan konsert Artis Legenda 3.0.

Tujuannya murni, iaitu mengutip sumbangan kepada pesakit kanser yang memerlukan bantuan tetapi dituduh pula mahu menggunakan isteri yang sebelum ini menghidap kanser untuk mengumpul duit.

"Saya tidak faham kenapa ada yang mengatakan saya demikian sedangkan saya ikhlas nak membantu mereka yang masih berjuang melawan sakit kanser.

"Memang segala dana yang diperoleh menerusi konsert amal ini tidak akan saya berikan kepada isteri walaupun satu sen. Semuanya adalah untuk mereka yang memerlukan," katanya kepada Majoriti.

Nizam-Laksamana-Isteri (1)

Nizam Laksamana bersama isterinya, Salwati Zulkifli.

Dalam pada itu, konsert yang sudah memasuki penganjuran ketiga itu dirasakan sebagai buah tangan yang terakhir daripadanya.

Apatah lagi menurut Nizam, bukan mudah mahu menganjurkan konsert amal walaupun sudah tiga kali mengadakannya.

"Saya rasa kali ini yang paling susah sehinggakan saya hampir putus asa. Banyak orang yang saya jumpa termasuk ahli politik untuk dapatkan tajaan tetapi memang susah.

"Saya teruskan juga dan Alhamdulillah, ada rakan artis yang masih sanggup bersama untuk meneruskan konsert ini walaupun mereka sendiri tidak tahu berapa bayaran yang bakal diterima," katanya.

Konsert amal yang diadakan di Bangi Resort Hotel, Selangor pada 4 Jun depan akan disertai barisan artis terkenal seperti Baggio, Ezad Lazim, Daqmie, Zarul Umbrella, Rahmad Mega, Ibnor Riza, Tam Spider dan Ramlah Ram. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram