JIKA sebelum ini, tular pasangan suami isteri dipercayai berketurunan Arab yang dilaporkan suka memperdaya penduduk setempat dengan mereka-reka cerita sedih bagi mendapatkan duit di daerah Kluang, Johor, kini modus operandi sama turut digunakan di kawasan tarikan pelancong, Genting Highlands, Pahang.
Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik pengguna TikTok, @hudanadiah_ mendakwa, ada pasangan suami isteri dipercayai warga Pakistan berkeliaran meraih simpati daripada orang ramai di Genting Highlands dengan membuat cerita sedih kononnya mereka ditimpa nasib malang.
Gadis itu mendakwa, si suami akan meminta ihsan orang ramai dengan mengatakan bahawa beg tangan isterinya hilang dengan harapan ada orang akan menghulurkan bantuan kepada mereka.
Rakaman tular suami isteri dipercayai berketurunan Pakistan meminta simpati daripada orang ramai di Genting Highlands. — TikTok
Menurutnya lagi, pasangan terbabit yang turut kelihatan menolak kereta sorong bayi akan mereka-reka cerita kononnya mereka tiada duit nak makan.
"Kalau nampak orang macam ni yang mengaku dirinya dari Pakistan la, beg tangan bini dia hilang la, nak makan tiada duit la, jangan dilayan. Sebab aku dengan keluarga aku dah terkena," dakwanya.
@hudanadiah_ turut mendakwa, mereka bergerak dalam dua kumpulan dengan satu lagi pasangan turut mengenakan pakaian sama yang mana wanita berpurdah hitam manakala lelaki menolak kereta sorong bayi.
Dakwaan itu turut disertakan dalam video berasingan yang dimuat naik di aplikasi TikTok.
"Ayat mereka cakap pun sama. Mujur cepat sedar dengan tipu helah mereka. Hati-hatilah," katanya.
Gadis itu turut mendakwa beg tangan 'scammer' wanita berpurdah itu sebenarnya disorokkan dalam kereta sorong bayi supaya tidak kelihatan.
Video bahagian pertama dan bahagian seterusnya itu masing-masing meraih 1.2 juta dan 1 juta tontonan sejak dimuat naik pada Isnin.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan penduduk di daerah Kluang, Johor dinasihatkan supaya berhati-hati dengan taktik sepasang suami isteri dipercayai berketurunan Arab yang dikatakan suka memperdaya penduduk setempat dengan mereka-reka cerita sedih bagi mendapatkan duit.
Mereka antara lain dikatakan memberi alasan 'kad pengenalan kena curi' dan 'lapar tak makan' sebagai modal mendapatkan wang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram