Pejuang cadang solusi kekurangan bekalan ayam mendadak


  • Massa
  • Selasa, 24 Mei 2022

Kerajaan memutuskan untuk menghentikan eksport bulanan Malaysia sebanyak 3.6 juta ekor ayam mulai 1 Jun ini.

KEPUTUSAN kerajaan untuk menghentikan eksport bulanan Malaysia sebanyak 3.6 juta ayam mulai 1 Jun ini, bagi menangani kekurangan bekalan semasa mendapat perhatian daripada pihak pembangkang.

Ini termasuk Mohd Danial Mohd Don Alfian yang menegaskan kerajaan supaya memandang serius perkara tersebut, memandangkan ayam merupakan sumber makanan yang tinggi kebergantungan penggunaannya.

Exco Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parti Pejuang TanahAir (Pejuang) Muda itu berkata, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai contoh diharapkan dapat merangka semula pelan pembangunan strategik untuk mengatasi masalah kekurangan ayam di negara ini.

WhatsApp Image 2022-05-24 at 12.17.42 AM

Mohd Danial turut menyarankan Nafas supaya melahirkan belia-belia muda yang akan terlibat dalam penternakan ayam berskala kecil ke sederhana.

Mohd Danial berkata, antara saranan yang dikemukakan kepada Nafas termasuk melahirkan belia-belia muda yang akan terlibat dalam penternakan ayam berskala kecil ke sederhana.

Beliau berkata, Nafas juga perlu mewujudkan sistem 'Contract Farming' dengan lebih banyak lagi, agar masalah kebergantungan stok pada satu pihak sahaja dapat diatasi.

Katanya, pertubuhan itu juga perlu meningkatkan pengeluaran ayam seluruh negara agar dapat mengurangkan kebergantungan ayam import dari luar negara.

"Memperbanyakkan usahawan kecil sederhana dalam penternakan ayam supaya dapat menjana ekonomi setempat dan juga mempelbagaikan penghasilan produk- produk hiliran berasaskan ayam.

"Mengurangkan kebergantungan import jagung dan memulakan penanaman jagung dengan skala besar kerana tumbuhan jagung merupakan bahan asas penghasilan dedak ayam dan ternakan ruminan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Danial berkata, langkah-langkah tersebut harus dilaksanakan dengan kadar segera berikutan permit import (AP) dan pembatalan eksport hanyalah penyelesaian jangka masa pendek selain impaknya hanyalah sementara.

Tambahnya, Malaysia sewajarnya sudah dapat menjadi seperti negara jiran iaitu Thailand, yang mampu menyediakan bekalan ayam untuk pasaran eksport dunia.

"...tetapi sayang sekali, Malaysia jauh ketinggalan dalam industri penternakan dan pertanian.

"Kestabilan harga ayam, harga dedak ayam dan ternakan ruminan hanya dapat terlaksana jika negara sendiri dapat menghasilkan sumber bekalan makanan ternakan sekaligus mengurangkan kebergantungan import," katanya.

Kerajaan pada Isnin memutuskan untuk menghentikan eksport bulanan Malaysia sebanyak 3.6 juta ekor ayam mulai 1 Jun ini bagi menangani kekurangan bekalan makanan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Kabinet juga telah membuat beberapa ketetapan terhadap isu bekalan serta harga ayam pada masa ini termasuk memansuhkan AP bagi produk ayam, termasuk keseluruhan ayam dan bahagian ayam, bagi membolehkan pengimport mendapat lebih banyak bekalan.

Selain itu, kerajaan akan menambah bilangan kemudahan penyembelihan ayam yang diiktiraf di luar negara bagi meningkatkan aliran bekalan.

"Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

"MyCC (Suruhanjaya Persaingan Malaysia) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini. Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

"Pada masa yang sama, kerajaan akan mengurangkan peranan orang tengah yang selama ini memanipulasi bekalan dan harga.

"Kerajaan akan memperkenalkan semula Jihad Memerangi Orang Tengah yang telah saya perkenalkan pada tahun 2014. Nafas diberikan peranan untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ayam, Pejuang, Nafas, kerajaan, bekalan, permit import