BERADA di kedudukan kedua dengan satu mata di belakang Johor Darul Takzim (JDT), skuad Sabah FC nampaknya sudah mula menunjukkan taring dalam Liga Super.
Malah, ada sebahagian penyokong yang sudah membayangkan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala pada tahun ini.
Berdasarkan lima perlawanan sebelum ini, Sabah FC hanya kalah sekali dan selebihnya menang sekaligus menaikkan lagi semangat penyokong untuk terus yakin kepada pasukan tersebut.
Ditambah pula dengan kehadiran pemain-pemain berbisa seperti Amri Yahyah, Baddrol Bakhtiar dan Saddil Ramdani yang berjaya meneruskan momentum kemenangan skuad Sang Badak.
Amri Yahyah (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan yang lain.
Seorang daripada penyokong, Muhd Saharlih Samli juga mengibaratkan kehadiran penyerang paling 'otai' dalam liga, Amri Yahyah sebagai Ibrahimovic.
"Ibrahimovic musim kedua bersama AC Milan dapat bantu pemain muda jadi juara liga Itali.
"Mana tahu Amri punya tuah bersama Sabah FC musim ini dapat memberikan satu piala," katanya.
Walaupun sudah berusia 41 tahun, kemunculan Amri di dalam pasukan Sabah FC sebenarnya memberi impak yang sangat positif terhadap pasukan.
Malah, Amri juga sempat melakukan jaringan hatrik dalam perlawanan bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang menyaksikan skuad Sang Badak menang besar 4-0.
Menerusi jurulatih yang cukup berpengalaman, penyokong berharap momentum yang diperoleh Sabah FC kini diteruskan sekaligus mencapai sasaran pasukan tahun ini untuk berada di kedudukan tiga teratas dalam liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram