Andai Endrick ke JDT, ini 5 calon import patut disambar Penang FC


  • Podium
  • Selasa, 24 Mei 2022

Endrick dos Santos pernah dikaitkan untuk berhijrah ke pasukan JDT selepas pemain tersebut mendapat kerakyatan Malaysia. — Facebook

BEKAS juara Liga Premier 2020, Penang FC kini tidak berada di tahap yang sebenar apabila mereka kini menduduki tangga tercorot Liga Super dengan lima kekalahan dan tiga seri daripada lapan perlawanan.

Sebelum ini, nama bekas Ketua Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha dicanang sebagai antara punca prestasi merudum skuad tersebut sehingga muncul kempen #truchaout oleh peminat Harimau Kumbang itu.

Dikhabarkan juga, pihak pengurusan akan merombak beberapa pemain import pasukan itu termasuk ketua pasukan mereka iaitu Endrick Dos Santos dan penjaring terbanyak Liga Premier 2020, Casagrande.

Berikut adalah lima senarai pemain yang wajar disasarkan Penang untuk menyelamatkan mereka dari terus jatuh ke Liga Premier musim depan serta memperbaiki kedudukan mereka di dalam baki saingan Liga Super 2022 musim ini:

Marko Simic

Simic berjaya menjaringkan 61 gol daripada 91 penampilan sepanjang beraksi bersama pasukan Persija Jakarta. Facebook

1. Marko Simic (Ejen Bebas)

Bekas penjaring terbanyak Liga 1 Indonesia 2019, Marko Simic kini menjadi ejen bebas selepas dia mendakwa bekas majikannya iaitu Persija Jakarta tidak membayar gajinya selama setahun.

Simic sangat dikenali dan disayangi oleh penyokong The Jakmania kerana dia merupakan salah seorang pemain import yang paling berjaya pernah dimiliki oleh pasukan Macan Kemayoran.

Penyerang kelahiran Croatia ini juga pernah beraksi bersama beberapa pasukan di dalam Liga Malaysia iaitu Negeri Sembilan FC dan Melaka United FC sebelum membuat keputusan berhijrah ke negara jiran.

Pemain berusia 34 tahun ini mempunyai rekod yang baik bagi jaringan gol, ini kerana dalam saingan Liga Indonesia beliau telah menjaringkan 61 gol daripada 91 penampilan bersama Persija Jakarta.

Pemain ini juga pernah membantu pasukan Persija memenangi Piala Indonesia pada tahun 2017/18 dan Piala Kemenpora pada tahun 2020/21 serta mempunyai pengalaman luas apabila pernah beraksi bersama kelab di Vietnam, Itali, Croatia dan Rusia.

Juan Martin Lucero

Lucero bekas pemain pasukan JDT pada tahun 2016 yang berjaya membantu pasukan selatan itu menjadi juara Liga Super tanpa sebarang kekalahan. Facebook

2. Juan Martín Lucero (Colo-Colo)

Penyerang kelahiran Argentina, Juan Martin Lucero merupakan bekas pemain import pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pada tahun 2016 yang berjaya membantu pasukan itu menjadi juara Liga Super Malaysia tanpa sebarang kekalahan.

Walaupun hanya beraksi selama semusim di Liga Malaysia, Lucero berjaya menjaringkan 16 gol daripada 22 penampilan beliau semasa menyarung jersi pasukan Harimau Selatan.

Pemain berusia 30 tahun itu, mempunyai kelebihan dalam menghidu peluang menjaringkan gol kerana pada tahun tersebut dia bersama Jorge Prerya Diaz merupakan gandingan yang paling berbahaya di dalam saingan Liga Malaysia.

Kini Lucero baru sahaja berpindah ke Liga Chile, tetapi jika pengurusan Penang FC mahu menyelesaikan masalah ketumpulan di bahagian serangan pasukan, mungkin pemain ini merupakan calon yang sesuai buat pasukan Harimau Kumbang.

Sandro Da Silva

Sandro kini menjadi ejen bebas selepas tidak disambungkan kontrak oleh pasukan Sarawak United. Facebook

3.Sandro da Silva Mendonça (Ejen Bebas)

Arkitek tengah kelahiran Brazil ini sangat diminati oleh penyokong-penyokong Kedah kerana dia merupakan salah seorang pemain yang berjaya membawa skuad Hijau Kuning memenangi Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA Malaysia 2017 dan Piala Sumbangsih 2017.

Sandro telah menjadi salah seorang pemain import terbaik yang pernah dimilik oleh pasukan Kedah semasa di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan iaitu Tan Cheng Hoe.

Pemain tengah berusia 38 tahun itu pernah beraksi bersama beberapa pasukan di dalam saingan Liga Malaysia seperti Kedah Darul Aman FC, Selangor FC dan Sarawak United selepas meninggalkan skuad Hijau Kuning.

Sandro juga berjaya merekodkan statistik yang agak menarik semasa beraksi dalam saingan Liga Malaysia iaitu dengan 27 jaringan gol dan 14 bantuan gol dalam 56 penampilan.

Dengan reputasi sebagai pemain import terbaik di Malaysia, Sandro mampu menjadi pengganti yang sesuai buat Endrick yang dikhabarkan akan menyertai JDT, bagi mengemudi jentera tengah pasukan Penang FC.

Do-Dong-Hyun

Digelar 'Messi Kelantan' kerana mempunyai cara permainan yang serupa seperti pemain bintang kelahiran Argentina itu. Facebook

4. Dong-hyeon Do (Jinju Citizen)

Pemain sayap kelahiran Korea Selatan, Dong-hyeon Do pernah digelar 'Messi Kelantan' kerana kelincahan dan kelajuan yang dimiliki pemain itu dalam membawa bola untuk masuk ke dalam kawasan pihak lawan.

Dong-hyeon, kini sedang beraksi bersama pasukan Jinju Citizen dengan status pinjaman oleh pasukannya iaitu Gyeongnam FC di dalam saingan liga keempat negara kelahirannya.

Pemain berusia 28 tahun ini pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada tahun 2017 sehingga 2019 dengan menyertai pasukan UiTM FC, Kelantan FC dan Terengganu FC sebelum pulang ke negara asalnya.

Walaupun bertubuh kecil, Dong-hyun mempunyai kelajuan, kelincahan serta mempunyai kekuatan kaki kiri untuk mengambil sepakan percuma sehingga mampu menjaringkan gol buat pasukannya.

Sebelum beraksi di dalam liga tempatan 'Messi Kelantan' ini pernah berkelana ke Liga Australia, India dan Jepun sebelum memulakan kariernya di Malaysia.

Diaz

Jorge pernah diberi gelaran pemain import paling berbahaya semasa gandingannya bersama Lucero pada tahun 2016 dalam saingan Liga Malaysia. Facebook

5. Jorge Pereyra Díaz (Kerala Blasters FC)

Pemain kontorversi yang pernah meninggalkan pasukan JDT pada tengah malam sebelum skuad itu berlepas ke Vietnam untuk perlawanan menentang Song Lam Nghe An FC dalam Piala AFC 2018 mungkin boleh dipertimbangkan oleh pasukan Penang FC.

Penyerang kelahiran Argentina ini pernah dikaitkan dengan beberapa pasukan dalam liga Malaysia dan kini sedang hangat dikaitkan kembali apabila jendela perpindahan kedua akan dibuka pada hujung bulan ini.

Diaz kini sedang bermain di Liga Super India bersama Kerala Blasters FC dengan menjaringkan lapan gol dalam 21 penampilan serta membantu pasukannya menduduki tempat ke-4.

Jika Penang ingin mencari gandingan sesuai buat Casagrande, Diaz merupakan salah satu calon terbaik kerana beliau memahami cara permainan pemain Malaysia dan dia juga mungkin dapat membantu menyelesaikan ketumpulan barisan serangan pasukan Harimau Kumbang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram