Jambatan P.Pinang sesak, pelajar USM terpaksa tumpang motor demi segulung ijazah


  • Tular
  • Selasa, 24 Mei 2022

Gambar tular (kiri) ketika R. Kevin cuba menahan motosikal yang lalu lalang, untuk membantunya menghadiri majlis konvokesyen pada Selasa. — Facebook USM

SEORANG pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) terpaksa menaiki motosikal untuk ke Upacara Konvokesyen USM ke-59 selepas keretanya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang arah ke pulau.

R. Kevin, 28, berkata, dia dan ibu bapanya dalam perjalanan ke majlis konvokesyennya apabila kenderaan mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, sejurus mereka meninggalkan rumah di Seberang Jaya pada pagi Selasa.

"Saya diberitahu ada kemalangan maut di jambatan itu. Kami sengaja keluar dari rumah pukul 6.30 pagi kerana mahu sampai awal ke majlis konvokesyen saya.

"Tapi apabila sudah pukul 9 pagi kami masih di jambatan, saya mengambil keputusan untuk mengambil peluang cuba membonceng penunggang motosikal yang lalu. Nasib baik saya tidak perlu menunggu lama sebelum ada yang berhenti untuk menumpangkan saya," tulisnya di laman Facebook USM.

Gambar graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan ini memegang jubah graduasi cuba membonceng motosikal menjadi tular di Facebook USM, dengan lebih 3,000 memberi tanda suka dan 179 perkongsian setakat pukul 3 petang.

Beliau berjaya menghadiri konvokesyen tepat pada masanya selepas pihak pengurusan USM menangguhkan konvokesyen selama 30 minit hingga pukul 10.30 pagi, berikutan terdapat graduan lain yang turut terperangkap dalam kesesakan.

Dalam kejadian awal pagi Selasa itu, dua lelaki maut dalam kemalangan antara lori dan treler di kilometer 8.6 lorong menghala ke Jambatan Pulau Pinang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, seorang pemandu lori berusia 39 tahun dan pemandu bersamanya berusia 19 tahun maut di tempat kejadian dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu.

Mangsa tersepit di dalam kenderaan mereka selepas merempuh treler dari arah belakang. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram