[VIDEO] Misteri ditemukan mati seorang diri selepas berbulan lamanya, famili enggan tuntut mayat Humaira Asghar Ali


  • Benua
  • Khamis, 10 Jul 2025

Mayat Humaira ditemui dalam keadaan reput di sebuah flat yang didiaminya sejak tujuh tahun lalu. — Agensi

DUNIA hiburan Pakistan dikejutkan dengan penemuan mayat pelakon dan model terkenal, Humaira Asghar Ali, yang ditemukan meninggal dunia seorang diri di apartmennya di Karachi.

Menurut pihak berkuasa, mayat Humaira ditemui dalam keadaan reput di sebuah flat yang didiaminya sejak tujuh tahun lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Cuma nak sambung kehidupan kami', jual roti canai murah, baiknya hati suami isteri korban lemas sekeluarga Sungai Korok

BACA LAGI: [VIDEO] 'Orang lain susah payah minta permit', warga asing kantoi jadi pemandu e-hailing secara haram

Polis mengesyaki pelakon berusia lingkungan 30 hingga 35 tahun itu telah meninggal dunia sejak Oktober 2024 sebelum mayatnya ditemukan pada Selasa.

Apa yang lebih mengejutkan, keluarganya dilaporkan enggan menuntut jenazah serta tidak mahu menguruskan pengebumian Allahyarhamah, mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

 

 

 

Memetik laporan media antarabansa, bapanya, Dr Asghar Ali, seorang bekas doktor tentera, dilaporkan memaklumkan kepada pihak polis bahawa mereka telah memutuskan hubungan dengan Humaira dan enggan menuntut jenazahnya.

Susulan itu, pelakon popular yang juga rakan artis, Sonya Hussyn, tampil menyatakan hasrat untuk menguruskan pengebumian mendiang Humaira sekiranya tiada waris yang tampil.

Dalam satu video yang dimuat naik di akaun Instagram rasminya, Sonya berkata tiada wanita yang layak meninggal dunia dalam keadaan sunyi dan tanpa penghormatan terakhir.

"Saya merayu kepada pihak berkuasa agar menunggu sehingga esok. Jika masih tiada sesiapa yang tampil, izinkan saya menguruskan jenazah arwah," katanya dalam kapsyen hantaran tersebut.

Dalam pada itu, pihak hospital mengesahkan proses bedah siasat dijalankan di Jinnah Postgraduate Medical Center di bawah pengawasan Dr. Summaiya.

"Mayat berada dalam keadaan reput yang hampir lengkap," ujar Dr. Summaiya.

Dalam perkembangan lain, siasatan berhubung punca kematian sedang dijalankan, dan pasukan forensik telah dipanggil untuk mengumpul bukti dari unit kediaman Humaira.

Buat masa ini, kematian pelakon itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun tidak menolak sebarang kemungkinan lain.

Kematian tragis Humaira bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada peminat dan rakan industri, malah mencerminkan sisi gelap kesepian yang dialami segelintir selebriti di sebalik populariti yang dikecapi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram