
TINDAKAN seorang lelaki dipercayai warga asing yang memandu kenderaan e-hailing mengundang kemarahan orang ramai selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial.
Menerusi perkongsian video di laman Facebook Magnito GE pada Isnin, lelaki terbabit dilihat membawa sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna merah di sebuah kawasan yang tidak didedahkan lokasinya.
Kejadian itu dipercayai dirakam oleh seorang individu yang juga pemandu e-hailing tempatan yang menegur tindakan lelaki berkenaan bersama rakannya.
BACA LAGI : [VIDEO] ‘Rezeki tak salah alamat’, sifat terpuji rider dapat bantuan serta-merta suami isteri ketika susah
Dalam video berdurasi kurang seminit itu, kedengaran suara perakam memarahi lelaki tersebut yang dipercayai warga Bangladesh serta menggesanya meninggalkan lokasi kejadian.
"Jangan cakap banyak. Kau jalan sekarang. Orang lain susah payah minta permit, minta lesen. Kau senang-senang ambil hak dan kerja orang," tegas perakam.
Tindakan seorang lelaki dipercayai warga asing yang memandu kenderaan e-hailing di sebuah kawasan mengundang kemarahan orang ramai selepas rakaman video kejadian itu tular di media sosial.
Kredit: Magnito GE pic.twitter.com/mLG6WDZYWZ
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) July 8, 2025
Bagaimanapun, lelaki warga asing itu dilihat tenang dan bertanya mengapa gambarnya dirakam.
Tindakan lelaki dipercayai warga Bangladesh itu turut mendapat kecaman warga maya yang menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menjalankan perkhidmatan e-hailing tanpa lesen atau permit yang sah.
Seorang pengguna Facebook, Lingga Kumar berkata, situasi sebegini membuktikan bahawa segelintir warga asing semakin berani dan tidak menghormati undang-undang negara.
"Warga asing dah mula besar kepala," tulisnya ringkas.
Sementara itu, Rosliey Abdullah pula menggesa rakyat tempatan agar bersatu dalam menuntut tindakan terhadap sikap segelintir warga asing yang dianggap keterlaluan.
"Sampai masanya kita rakyat tempatan sepakat bertindak dengan kerenah makhluk asing ini. Macam-macam hal yang mereka timbulkan," katanya.
Setakat ini, belum ada kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram