
WARNA darah yang keluar semasa rawatan alternatif seperti bekam, fasdu atau hirudoterapi sering menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Malah ada yang menganggap darah berwarna gelap itu sebagai 'darah kotor'. Namun, tanggapan tersebut sebenarnya tidak tepat.
Perkara itu dijelaskan oleh Doktor Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan menerusi satu perkongsian di Facebook miliknya yang menegaskan bahawa warna darah yang berbeza bukan penanda kepada tahap 'kekotoran', sebaliknya dipengaruhi oleh faktor fisiologi tubuh.
"Warna darah boleh berubah bergantung kepada beberapa faktor seperti kadar oksigen, kelajuan aliran darah dan dari kawasan mana darah diambil.
"Darah dari arteri biasanya berwarna merah terang kerana mengandungi oksigen yang tinggi, manakala darah dari vena lebih gelap kerana kurang oksigen," katanya pada Isnin.
Tambah Dr Kamarul lagi, kehadiran cecair kekuningan selepas rawatan seperti bekam turut sering disalah anggap.
"Cecair tersebut bukanlah lemak atau racun, tetapi sebenarnya plasma darah yang merupakan komponen utama dalam darah manusia yang kaya dengan air, protein, elektrolit dan nutrien penting.
"Plasma memainkan peranan penting dalam mengangkut bahan ke seluruh tubuh, serta membantu mengekalkan tekanan darah dan keseimbangan bendalir badan.
"Ia bukan bahan buangan atau toksin," jelasnya lagi.
Dr Kamarul turut menegaskan bahawa tubuh manusia tidak menyimpan 'darah kotor' untuk dikeluarkan melalui rawatan tertentu.
"Sistem semula jadi badan seperti buah pinggang, hati dan sistem limfa sentiasa berfungsi menapis dan membersihkan darah sepanjang masa," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kepentingan rawatan sunnah yang diamalkan ramai sebagai ikhtiar kesihatan, namun menasihati agar ia tidak dicemari dengan mitos dan salah faham yang boleh menjejaskan kefahaman serta membahayakan kesihatan.
"Tidak salah untuk menjalani rawatan tradisional, tetapi pastikan ia berlandaskan fakta dan tidak dipengaruhi oleh kepercayaan yang tidak berasas," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram