[VIDEO] Kebakaran SMAP Kajang cetus kebimbangan, PIBG desak audit keselamatan SBP


  • Massa
  • Khamis, 10 Jul 2025

Keadaan terkini unit pejabat di tingkat dua SMAP Kajang dalam satu kejadian kebakaran awal pagi Khamis. — Facebook/ akhtiar Fitri Abdul Hamid

INSIDEN kebakaran yang berlaku awal pagi Khamis di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP Kajang) dekat Kajang, Selangor mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan ibu bapa, khususnya berkaitan tahap keselamatan infrastruktur sekolah berasrama penuh (SBP) di negara ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMAPK, Mohd Yuamrizaily Mohd Yusof dalam satu kenyataan menegaskan bahawa kejadian tersebut seharusnya menjadi amaran jelas bahawa sudah tiba masa untuk kerajaan bertindak secara menyeluruh dalam menangani isu keselamatan sekolah.

"Alhamdulillah, tiada sebarang kemalangan jiwa. Tapi sebagai bekas pelajar dan kini ayah kepada anak yang akan menduduki SPM di sini, saya sangat bimbang. 

BACA LAGI : [VIDEO] 'Cuma nak sambung kehidupan kami', jual roti canai murah, baiknya hati suami isteri korban lemas sekeluarga Sungai Korok

BACA LAGI : [VIDEO] 'Orang lain susah payah minta permit', warga asing kantoi jadi pemandu e-hailing secara haram

"Ini bukan kejadian terpencil dan sebelum ini Sekolah Menengah Sains Alam Shah pun terbakar,” katanya pada Khamis.

Menurut Mohd Yuamrizaily, majoriti SBP  beroperasi lebih tiga dekad dan walaupun kerja penyelenggaraan dilakukan dari semasa ke semasa, banyak struktur asas seperti pendawaian, paip air, bumbung dan kayu sokongan kini berada dalam keadaan usang dan membahayakan.

"Pelajar tinggal sepenuh masa di sekolah. Mereka makan, tidur dan membesar di sini. Apa-apa kelemahan pada bangunan dan kemudahan bermaksud kita mempertaruhkan keselamatan mereka,” ujarnya.

Mohd Yuamrizaily turut menggesa Kementerian Pendidikan agar tidak lagi menggunakan pendekatan bersifat sementara dalam menangani isu-isu keselamatan SBP.

"Sudah sampai masa kerajaan laksanakan audit teknikal menyeluruh ke atas semua SBP dan sediakan peruntukan berskala besar untuk naik taraf serta sistem pencegahan kebakaran. Jangan tunggu sampai ada yang terkorban," katanya.

Tambah Mohd Yuamrizaily lagi, perkara itu tidak seharusnya dipandang sebagai isu pentadbiran semata-mata, sebaliknya berkaitan soal nyawa.

"Bayangkan kalau api marak di asrama ketika semua pelajar sedang tidur. Adakah kita sanggup menanggung akibatnya nanti?" soalnya. 

Justeru, Mohd Yuamrizaily menyeru tindakan segera daripada semua pihak berkepentingan.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa. Tapi sebagai bapa dan bekas pelajar, saya mohon sangat… selamatkan SBP kita, selamatkan anak-anak kita," tegasnya. 

Setakat ini, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran. 

Bagaimanapun, kejadian itu membuka mata ramai pihak mengenai keperluan mendesak untuk memperkemaskan aspek keselamatan di sekolah berasrama penuh seluruh negara.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram