[VIDEO] 'Malam paling boleh tidur nyenyak', wanita bersalin kenang jasa jururawat terbaik hospital di Sandakan


  • Tular
  • Selasa, 08 Jul 2025

Tangkap layar seorang jururawat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta layanan mesra yang sangat menyentuh hati terhadap seorang wanita di sebuah hospital di Sandakan baru-baru ini.

SEORANG wanita yang baru melahirkan anak di salah sebah hospital di Sandakan, Sabah meluahkan rasa syukur dan terharu atas layanan penuh empati daripada seorang jururawat yang dikenali sebagai Bevielyni.

Perkongsian yang dimuat naik oleh pengguna X (dahulunya Twitter) @nuniss_anis pada Isnin, mengundang perhatian ramai apabila dia menceritakan pengalaman mengharukan ketika dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) hospital berkenaan.

Dalam perkongsiannya itu, dia turut menzahirkan penghargaan terhadap jururawat tersebut yang disifatkan bukan sahaja menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, malah memberikan sokongan emosi serta layanan mesra yang sangat menyentuh hati.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Cuma nak sambung kehidupan kami', jual roti canai murah, baiknya hati suami isteri korban lemas sekeluarga Sungai Korok

BACA LAGI : [VIDEO] ‘Rezeki tak salah alamat’, sifat terpuji rider dapat bantuan serta-merta suami isteri ketika susah

"Aku tak pernah jumpa nurse (jururawat) yang macam ini. Malam itu baby (bayi) aku menangis, tak nak tidur. 

"Dia datang, bagi susu, siap urut kaki dan perut bayi. Dia bedung dan tepuk-tepuk sampai baby aku tidur," tulisnya.

Jururawat berkenaan turut memberikan kata-kata menenangkan kepada ibu muda tersebut agar berehat dan tidak perlu risau, malah berkali-kali menyuruhnya tidur kerana dia akan menjaga bayi tersebut.

"Sejak aku dalam wad itu, itu malam yang paling aku boleh tidur nyenyak," tambahnya lagi.

Perkongsian tersebut menerima ribuan tanda suka dan ulang ciap, dengan ramai netizen tampil mengenali jururawat berkenaan. 

Mereka turut mengesahkan bahawa Bevielyni atau lebih mesra dipanggil 'Nurse Vivi' sememangnya dikenali sebagai seorang yang berdedikasi, penyayang dan ikhlas menjalankan tugas.

"Semoga Nurse Vivi sentiasa dalam lindungan ALLAH, sihat, murah rezeki dan dipermudahkan urusan dunia akhirat," ujar pengguna tersebut dalam doanya.

Insiden itu sekali lagi mengangkat peranan penting petugas kesihatan, khususnya jururawat yang bukan sahaja bertindak sebagai penyampai rawatan, malah sebagai sumber kekuatan emosi dan psikologi kepada pesakit yang memerlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram