
TRAGEDI menyayat hati di Sungai Korok, dekat Jitra, Kedah yang mengorbankan enam sekeluarga pada Isnin terus mengundang rasa hiba dalam kalangan rakyat Malaysia.
Insiden yang berlaku pada Sabtu lalu melibatkan sebuah kereta dinaiki mangsa sekeluarga yang dipercayai terbabas lalu terjunam ke dalam sungai, menyebabkan kesemua penumpangnya lemas.
Mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bermalam di rumah ahli keluarga di Taman Aman.
BACA LAGI: [VIDEO] Belum tiba ajal, ‘rider’ tercampak ke laut diselamatkan nelayan di Jambatan Pulau Pinang
Mangsa dikenali sebagai Mohamad Azim Izat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, dan empat anak mereka Putra Rayyan Nur Izza, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan ditemui maut pada Isnin.
Kisah pasangan suami isteri tersebut bukan sekadar berakhir dalam tragedi, tetapi turut mengangkat sisi mulia dan kesederhanaan hidup mereka yang kini menjadi kenangan paling menyentuh hati.
Sebelum insiden menyayat hati itu berlaku, satu video temu bual pasangan tersebut yang dimuat naik di akaun TikTok Orang Bisnes pada 22 April lalu kembali tular pada Isnin.
Dalam rakaman itu, mereka berkongsi kisah berniaga gerai roti canai dengan penuh keikhlasan dan rendah diri di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar, Kedah.
Pasangan suami isteri yang terkorban bersama empat anak mereka dalam tragedi lemas di Sungai Korok, Kedah, dikenang sebagai peniaga roti canai murah yang baik hati dan pemurah.
kREDIT: TikTok Orang Bisnes pic.twitter.com/yLIIKjXAHW
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) July 7, 2025
"Kami ini meniaga roti canai, dah lama dan berpindah banyak tempat, sekarang meniaga di Medan Selera Hospital Lama Alor Setar.
"Gerai kami jual bukan setakat roti canai ada tosai, capati, roti banggali pun ada," ujar Nurul Hidayah dalam video berkenaan.
Suaminya pula dilihat tenang membantu menguruskan bahagian penyediaan makanan, manakala isterinya menjaga gerai minuman.
Mereka menjual makanan dengan harga yang sangat berpatutan sepinggan roti canai hanya RM1.20, dengan harapan dapat memberi makanan mampu milik kepada pelanggan yang majoritinya kakitangan hospital dan orang awam.
"Pelanggan kami banyak kakitangan hospital dan juga orang awam. Jadi kami jual pun tak mahal lah.
"Orang meniaga ini ada dua jenis. Satu nak kaya, satu lagi cuma nak sambung kehidupan. Kami yang kedua. Janji dapat teruskan hidup," kata Nurul Hidayah lagi.
Pasangan itu juga dilihat amat mesra dan ringan tulang dalam memberikan layanan kepada pelanggan mereka.
Rata-rata pengguna media sosial menzahirkan rasa sedih dan simpati terhadap kehilangan pasangan tersebut bersama anak-anak yang masih kecil, apatah lagi setelah menonton video tersebut yang menyentuh hati ramai.
Tragedi itu menjadi pengajaran besar tentang erti kesederhanaan, kasih sayang dan keikhlasan dalam mencari rezeki halal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram