
TINDAKAN seorang lelaki menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) terhadap isterinya berhubung pelaksanaan kerja rumah, mendatangkan kemarahan dalam kalangan rakyat di China.
Menurut laporan China Press, isteri tersebut mendakwa suaminya menetapkan beberapa syarat ketat dan akan mengurangkan elaun bulanan jika sasaran itu tidak dipenuhi.
Berdasarkan perkongsian melalui hantaran di media sosial Threads, lelaki berkenaan menetapkan waktu spesifik untuk menyelesaikan tugas harian, antaranya memastikan rumah dan makan malam keluarga siap pada pukul 8 malam setiap hari serta memastikan anak-anak tidur pada pukul 10 malam.
BACA LAGI: Lebih 900 perkahwinan bawah umur direkodkan sejak 2022, Kelantan catat jumlah tertinggi
BACA LAGI: Diam-diam nikah gadis bawah umur, ketua kampung 'hilang' lepas malam pertama
"Setiap Jumaat, saya dikehendaki meluangkan masa bersamanya walaupun tidak sihat. Jika tidak, elaun akan dipotong sebagai hukuman," katanya dalam hantaran tersebut.
Wanita yang juga suri rumah sepenuh masa itu berkata, beliau bergantung sepenuhnya pada elaun bulanan diberikan oleh suaminya.
Jelasnya lagi, kebiasaannya beliau akan menerima elaun sebanyak RM1,000 sebulan, namun ia boleh dikurangkan serendah RM600 jika KPI ditetapkan tidak berjaya dipenuhi.
"Saya cuba berkomunikasi dengannya, tetapi suami menuduh saya tidak patuh arahan seolah-olah sayabekerja untuknya," ujarnya.
Wanita itu turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana berasakan suaminya memperlakukan perkahwinan mereka seperti sebuah organisasi korporat.
Kisah dikongsikan meraih perhatian ramai netizen yang mengecam tindakan suami wanita berkenaan.
Menerusi ruangan komen, rata-rata menyuarakan pandangan bahawa perkahwinan seharusnya dibina atas dasar saling menghormati, bukan berasaskan KPI yang dingin dan tanpa emosi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram