Penantian 9 tahun, elak anak warisi penyakit bapa, 2 pasangan kongsi liku-liku IVF sarat emosi dan kesulitan


IVF adalah rawatan kesuburan yang melibatkan persenyawaan telur (ovum) dengan sperma di luar tubuh wanita, iaitu dalam makmal sebelum dipindahkan kembali ke dalam rahim wanita untuk perkembangan lebih lanjut. — Gambar hiasan/Freepik

MEMPUNYAI anak adalah impian bagi setiap pasangan suami isteri, namun untuk sesetengah pasangan, perjalanan untuk merealisasikan impian tersebut tidaklah semudah disangka.

Kaedah IVF (In Vitro Fertilization) iaitu persenyawaan telur di luar badan menjadi harapan bagi pasangan yang menghadapi kesukaran untuk hamil.

Kepada Majoriti dua pasangan berkongsi pengalaman berharga tentang perjalanan IVF mereka.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Aefa dan Nirul menanti kehadiran Firas Anaqi selama sembilan tahun. — Instagram/@nirulya

Penantian sembilan tahun

Aefa Fara Mustafar Bukhari dan suami, Nirul Izuan Nasir menanti selama sembilan tahun sebelum berjaya mendapatkan anak pertama mereka, Firas Anaqi yang kini berusia lima tahun melalui IVF.

Kejayaan IVF pada percubaan pertama membawa mereka ke dunia yang penuh dengan keajaiban.

"Setiap proses IVF adalah perjuangan, dari pengambilan hormon sehinggalah keputusan yang positif. Ia benar-benar mengubah hidup kami," kata Aefa yang kini menanti kelahiran anak kedua.

Walaupun perjalanan IVF penuh emosi dan kesulitan, Aefa dan Nirul tetap berpegang kepada sokongan moral antara satu sama lain serta sokongan daripada keluarga.

"Kami percaya bahawa kekuatan emosi adalah kunci. Ketika menghadapi tekanan, sokongan daripada pasangan adalah sangat penting," ujar Aefa, sambil menambah bahawa proses IVF bukan hanya tentang fizikal, tetapi persediaan mental yang matang.

Pasangan tersebut masing-masing berusia 42 tahun itu turut menasihatkan mereka yang sedang mempertimbangkan untuk menjalani rawatan IVF supaya tidak berputus asa dan jangan terlalu tertekan.

Kongsi Aefa, walaupun mereka menghadapi tekanan daripada keluarga dan masyarakat yang sering bertanya tentang anak, mereka memilih untuk tidak berkongsi perjalanan secara terbuka pada awalnya.

“Kami hanya berkongsi dengan orang yang benar-benar memberikan sokongan positif. Kami tidak mahu orang lain bertanya terlalu banyak atau memberi harapan palsu kepada mereka,” katanya yang juga pegawai bank.

Mee Ngiik dan Hendricks bersama cahaya mata mereka, Joshua.

Elak penyakit genetik

Sementara itu, pasangan kedua, Mee Ngiik Wong dan suaminya, Hendricks Tay masing-masing berusia 40 tahun berdepan cabaran unik dalam perjalanan IVF.

Bagi pasangan itu, keadaan Hendricks yang menghidap penyakit saraf kronik sehingga tidak mampu berjalan tanpa bantuan kerusi roda membuatkan mereka mengambil keputusan untuk mendapatkan anak melalui IVF bagi mengelakkan penyakit genetik.

Menurut Mee Ngiik, suaminya menderita penyakit serebelum yang menyebabkan gangguan pada keseimbangan tubuh.

Penyakit itu jarang ditemui, membawa kepada kesulitan besar bagi Hendricks yang mula merasai kesan penuaan lebih cepat daripada sepatutnya.

"Kami tidak mahu anak kami mewarisi penyakit ini. Lalu memutuskan untuk cuba IVF sebagai langkah mencegah penyakit tersebut," jelas guru sekolah yang berpusat di Negeri Sembilan itu.

Melalui IVF, mereka melakukan penyaringan DNA untuk memastikan bahawa anak yang bakal dilahirkan tidak mewarisi penyakit tersebut.

"Kami sangat bersyukur kerana teknologi IVF membantu memilih embrio yang sihat dan bebas dari penyakit diwarisi," ujar Mee Ngiik.

Mereka melalui beberapa fasa proses IVF yang mencabar, termasuk dua kali cubaan sebelum membuahkan hasil.

"Percubaan pertama tidak berjaya dan kami sangat kecewa. Namun, tidak berputus asa dan mencuba lagi kali kedua," kata Mee Ngiik.

Parents with daughter. Family in a park. Newborn girl.

Rawatan IVF membuka jalan bagi pasangan untuk merasai nikmat keibubapaan setelah melalui fasa penantian panjang. — Gambar hiasan/Freepik

Proses ini bukan sahaja memerlukan kesabaran, tetapi juga memerlukan pengorbanan fizikal dan emosi yang mendalam.

Menurut anak kelahiran Sarawak itu, mereka berasa lebih yakin setelah menerima keputusan positif. Dengan sokongan keluarga, pasangan ini akhirnya berjaya memiliki anak lelaki, Joshua Tay yang kini berusia empat tahun.

"Setelah melalui perjalanan yang penuh dengan ujian, kami sangat bersyukur dan berasa diberkati dengan kehadiran Joshua," ujarnya.

Perjalanan IVF bukanlah satu jalan yang mudah. Bagi pasangan Aefa dan Nirul, serta Mee Ngiik dan Hendricks, cabaran yang mereka hadapi bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal, tetapi juga kesediaan mental.

Namun, dengan sokongan kuat daripada pasangan hidup mereka berjaya mengharungi segala kesukaran.

Kedua-dua pasangan ini memberikan mesej penting kepada mereka yang sedang melalui perjalanan IVF, bahawa harapan dan kesabaran adalah kunci utama.

"Jangan berhenti mencuba. Kami telah berusaha dengan sebaik mungkin, dan akhirnya ALLAH memberikan kami hadiah paling indah," kata Aefa.

Begitu juga dengan Mee Ngiik yang meletakkan harapan pada doa dan teknologi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram