[VIDEO] Dari ICU ke udara: Jururawat Malaysia 'terbang' ke seluruh dunia selamatkan nyawa


Dengan semangat dan dedikasi tinggi, Hemma terus berkhidmat dalam misi-misi menyelamatkan nyawa di seluruh dunia. — Agensi

SEBAGAI jururawat penerbangan di sebuah perkhidmatan pengangkutan udara kecemasan di Singapura, EMA Global, Hemma Rajendra membawa dirinya terbang ke seluruh dunia membantu pelbagai jenis pesakit dalam kecemasan yang kritikal.

Dalam tempoh hanya tiga tahun bekerja, Hemma yang berasal dari Malaysia menyaksikan begitu banyak kejadian mencabar.

Pasukannya terlibat dalam pemindahan ambulans udara, antaranya termasuk membantu seorang wanita yang mengalami simptom pernafasan mengancam nyawa di Da Nang, Vietnam, pasangan suami isteri yang terlibat dalam kemalangan ski di Hokkaido, Jepun dan seorang lelaki yang cedera di lingkaran artik.

BACA LAGI: Gemar bergambar depan kedai bunga ketika 'travel', Puteri Nurul Nadirah manifestasi minat sejak kecil

BACA LAGI: Tahun Baharu Cina: Kos meningkat 15 peratus, pemilik nurseri tidak naikkan harga pokok bunga

Pasukan pemindahan ambulans udara terdiri daripada juruterbang, paramedik, doktor dan jururawat yang juga dikenali sebagai jururawat penerbangan, jururawat pengangkutan udara atau jururawat pesawat, yang dilatih untuk memberikan rawatan kritikal semasa transit.

Sebagai sebahagian daripada krew tersebut, wanita berumur 28 tahun itu dilatih memberikan rawatan kritikal semasa transit, mengiringi mereka dari hospital ke destinasi baharu sama ada hospital lain atau kembali ke rumah, sambil memberikan rawatan perubatan sepanjang perjalanan.

"Pada tahun lepas, saya berada di dalam ambulans udara, untuk merawat seorang bayi pramatang yang mengalami masalah jantung dan paru-paru yang memerlukan rawatan segera," katanya.

 

 

Latihan ketat dan mencabar

Hemma yang berkhidmat lebih lapan tahun sebagai jururawat berdaftar, memulakan kerjaya sebagai jururawat Unit Rawatan Rapi (ICU) di Kuala Lumpur selama lima tahun sebelum menyertai EMA Global.

Cita-citanya untuk menjadi jururawat penerbangan bermula sejak di sekolah kejururawatan dan matlamat tersebut berjaya dicapai selepas memenuhi syarat lima tahun pengalaman di ICU.

“Menjadi jururawat penerbangan menggabungkan dua minat saya iaitu perjalanan dan kejururawatan,” katanya.

Namun akuinya, proses latihan menjadi jururawat penerbangan adalah ketat dan mencabar.

Hemma perlu mendapat pengesahan dalam pelbagai teknik penyelamatan nyawa dan protokol perubatan untuk merawat kecemasan jantung, bayi dan kanak-kanak yang berisiko serta menyelamatkan bayi baru lahir yang memerlukan perhatian segera.

Latihan itu termasuk kursus perubatan berkaitan penerbangan dan latihan fisiologi yang mempersiapkan beliau menghadapi cabaran menjaga pesakit dalam pesawat.

Setiap misi adalah unik dan sukar diramal. Hemma menjelaskan, tiada misi yang sama dan seringkali keadaan tidak berjalan mengikut perancangan.

"Sebagai contoh, pada awal tahun ini, misi di Udon Thani, Thailand terpaksa diubah apabila pesakit yang asalnya dijadualkan untuk dievakuasi ke Singapura, akhirnya perlu diterbangkan terus ke Denmark.

"Walaupun pelan awal berubah, saya dan pasukan segera menyesuaikan diri dengan situasi tersebut," kongsinya.

Selain itu, beliau turut berhadapan dengan cabaran berhubung maklumat perubatan yang tidak lengkap, yang mana kadangkala pesakit yang pada awalnya dilaporkan stabil, mendapati mereka dalam keadaan lebih kritikal ketika pasukan sampai di lokasi.

Hemma perlu mendapat pengesahan dalam pelbagai teknik penyelamatan nyawa dan protokol perubatan untuk merawat kecemasan. — Agensi

Untuk destinasi lebih dekat seperti sekitar Malaysia, Emma dan pasukan akan bersedia memulakan misi dalam tempoh empat jam selepas menerima panggilan.

Bagi destinasi lebih jauh seperti Eropah atau Amerika Utara, mereka berusaha untuk terbang dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

"Kebanyakan masa diperlukan untuk membersihkan dokumen seperti permit perjalanan dan insurans.

“Kami terbang ke seluruh dunia untuk membantu, sesiapa sahaja boleh jadi pesakit kami,” ceritanya.

Jika pasukan mengembara dengan jet syarikat, juruterbang pasukan akan merancang laluan paling selamat dan cepat untuk sampai ke negara tersebut, sementara pegawai operasi memeriksa pesawat dengan teliti untuk memastikan pesawat boleh terbang dengan selamat.

Untuk penerbangan komersial, ketua operasi mengatur tempat duduk berdasarkan perlindungan insurans pesakit dan keperluan perubatan.

Ia mungkin bermakna mendapatkan tempat duduk kelas perniagaan atau menempah beberapa tempat duduk di kelas ekonomi.

Hemma (tengah) ketika berkhidmat dalam misi-misi menyelamatkan nyawa di seluruh dunia. — Agensi

Pengorbanan

Pekerjaan itu ujar Emma, turut memerlukan pengorbanan masanya bersama keluarga.

Menyentuh lebih lanjut, beliau memberitahu, sudah beberapa kali dirinya terlepas untuk menyambut Deepavali bersama keluarga di Malaysia disebabkan misi yang berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat (AS).

Namun, pasukannya telah merancang kejutan dengan mengadakan sambutan Deepavali di tengah-tengah bandar San Francisco sebagai pengubat hatinya.

Hemma bagaimanapan mengakui bersyukur atas pengalaman menjalani pekerjaan yang tidak konvensional itu.

“Saya bangga dapat menyelamatkan nyawa di seluruh dunia dan memberi harapan kepada mereka yang sudah putus semangat,” katanya penuh rasa syukur.

Dalam setiap misinya, Hemma tidak hanya merawat pesakit, tetapi juga berpeluang meneroka dunia dengan pemandangan indah seperti lautan Hawaii, gunung Nepal dan menyaksikan kesibukan bandar San Francisco.

Dengan semangat dan dedikasi tinggi, beliau terus berkhidmat dalam misi-misi menyelamatkan nyawa di seluruh dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp