
KESAKITAN mula dirasai beberapa hari sebelum haid, disertai dengan pendarahan yang banyak semasa kitaran haid.
Rasa sakit turut berlaku ketika membuang air kecil atau besar.
Keadaan itu bukan sesuatu yang baharu, malah boleh menyebabkan pergerakan terbatas sehingga mengganggu aktiviti harian.
BACA LAGI: Bayi lidah pendek bukan cacat, doktor perjelas boleh rawat seawal usia 3 bulan
Penghidap endometriosis kerap berasa lemah. — Gambar hiasan
Namun, kerana malu, kesakitan yang dialami sejak bertahun-tahun dibiarkan berlalu sendiri.
Itu antara gejala endometriosis. Ia membuatkan lapisan tisu yang lazimnya di bahagian dalam rahim dikenali sebagai endometrium turut tumbuh di bahagian luar rahim.
Masalah biasanya melibatkan ovari, tiub Fallopio dan tisu-tisu yang menjadi lapisan dalam bahagian pelvis.
Terdapat juga kes terpencil tisu endometrium ini ditemui di luar organ pelvis.
Kesakitan itu bukan sahaja memberi kesan fizikal, tetapi mengakibatkan gangguan atau tekanan mental dan emosi, mengganggu produktiviti dalam aspek sosial dan ekonomi.
Lebih membimbangkan, endometriosis boleh mengakibatkan tekanan dalam hubungan suami isteri sehingga menyebabkan keretakan rumah tangga.
Pengasas dan Presiden Persatuan Endometriosis Malaysia (MYEndosis), Surita Mogan berkata, penyakit itu menimbulkan kesakitan teruk sehingga menjejaskan aktiviti rutin seperti kitaran haid, hubungan seksual dan kesukaran membuang air kecil atau besar.
Perangkaan global menganggarkan kira-kira 190 juta wanita sedang menghadapi musuh senyap yang tidak dikenali jutaan wanita.
Kesuburan ibarat satu perjuangan senyap, penyakit itu menjejaskan kehidupan kira-kira 350,000 wanita. Malangnya, mereka tidak memahami keadaan berkenaan.
"Keadaan menjadi semakin serius apabila kesuburan dan wanita dalam usia reproduktif turut terjejas akibat endometriosis," jelasnya kepada Majoriti.
Penyakit yang menyerang rahim wanita. — Gambar hiasan
Beliau memberitahu, dianggarkan hampir 50 peratus wanita menghidap endometriosis berkemungkinan tidak subur menghancurkan impian mereka bergelar ibu.
Peluang untuk hamil mungkin terhalang oleh penyakit itu menyebabkan anatomi pelvis herot, tiub fallopio berparut dan pelbagai faktor lain yang mempengaruhi kualiti telur serta kehamilan.
Statistik direkodkan penyakit terbabit amat ketara, namun kesedaran tentang permasalahan itu masih rendah.
"Memecahkan kebisuan berkaitan penyakit ini adalah sangat penting untuk membantu meningkatkan kesedaran dan mewujudkan komuniti prihatin.
"Wanita lazimnya menanggung kesakitan dialami bersendirian dan terpaksa menjalani kehidupan harian secara normal," jelasnya.
Keradangan dalam kitaran haid biasa, endometrium akan menebal sewaktu kitaran haid dan luruh sebagai darah haid.
Bagaimanapun, bagi pesakit endometriosis tisu endometrium yang terdapat di bahagian luar rahim turut menebal dan luruh, namun terperangkap di ruang dalam pelvis.
Situasi itu mengakibatkan sel tisu di bahagian tersebut mengalami keradangan, terhasil parut dan lekatan disebabkan oleh kumpulan tisu.
Keadaan itu juga mengakibatkan tisu dan organ di bahagian pelvis ‘bersambung’ antara satu sama lain.
Endometriosis dibahagikan kepada empat tahap dengan setiap tahap mencerminkan kompleksiti dan impak berbeza.
Setiap tahap dialami memberikan gejala dan pilihan rawatan berbeza bagi membantu mengurangkan kesakitan serta memulihkan kualiti hidup.
Tahap pertama atau endometriosis minimum melibatkan tompok tisu kecil bertaburan, lazimnya tanpa simptom atau dengan ketidakselesaan pelvis yang ringan.
Beliau memberitahu, pada tahap kedua, adanya peningkatan pada jumlah tompok tisu yang berpotensi menjejaskan kesuburan.
Keadaan itu juga menyebabkan kesakitan semasa haid atau ketidakselesaan semasa hubungan seks.
"Tahap tiga pula, endometriosis sederhana dengan jumlah tompok tisu semakin meningkat dan berkemungkinan terdapat tisu parut.
"Keadaan itu menyebabkan sakit pelvis kronik dan masalah penghadaman," jelasnya lanjut.
Bagi tahap empat iaitu endometriosis teruk memperlihatkan parut tisu yang banyak dan ketara. Keadaan tersebut mengakibatkan kesakitan yang ekstrem sehingga menjejaskan fungsi usus dan kencing.
Surita berkata, biarpun tiada penawar mutlak untuk endometriosis, diagnosis pakar boleh membantu wanita mendapatkan pilihan rawatan sesuai.
Terdapat pelbagai jenis rawatan tersedia termasuk pembedahan laparoskopi dan rawatan kesuburan bagimenangani penularan penyakit.
Diagnosis awal boleh memberi akses kepada pilihan rawatan lebih berkesan, mengurangkan gejala malah membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit.
"Penting untuk mendapatkan bantuan pakar dan rawatan perubatan profesional. Endometriosis bukan lagi satu penderitaan yang wajar disembunyikan," katanya.
Emosi
Dr. Liza
Sementara itu, Perunding Obstetrik, Pakar Ginekologi dan Pakar Kesuburan di TMC Fertility, Dr. Liza Ling Ping berkata, naratif mengenai haid dan endometriosis perlu diubah.
Selain simptom fizikal, endometriosis turut memberi kesan yang mendalam kepada kesejahteraan emosi, hubungan dan kualiti hidup seseorang.
Jelasnya, dengan menyediakan pendidikan, sokongan dan pilihan rawatan lanjutan, wanita dan keluarga dapat menerima penjagaan sertaperhatian sewajarnya.
Ini termasuklah penyelidikan, sumber dan pengiktirafan yang lebih baik tentang keadaan itu diperlukan.
"Usaha memberi penerangan tentang kesan penyakit ini sudah kami tingkat terutama berkaitan ketidaksuburan.
"Kami berharap usaha ini dapat membantu memperkasakan wanita mendapatkan diagnosis pada kadar segera dan rawatan menyeluruh," katanya.
Beberapa modaliti rawatan endometriosis yang disarankan bergantung kepada tahap keseriusan gejala dialami.
1. Kesesuaian pesakit menambah ahli keluarga.
2. Rawatan konservatif dimulakan dengan ubat-ubatan.
3. Kebarangkalian ditambah dengan hormon.
4. Jika hormon tidak berkesan, pembedahan mungkin terpaksa dilakukan. Pembedahan laparoskopik atau pembedahan abdomen.
5. Pembedahan membuang tisu tertentu atau pembedahan lebih radikal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram