
SEBANYAK 881 perkahwinan bawah umur didaftarkan di Mahkamah Syariah sejak 2022 hingga 2024, maklum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Data daripada sistem e-Syariah menunjukkan jumlah perkahwinan bawah umur melibatkan seramai 518 remaja perempuan, berbanding 363 lelaki.
Mohd Na’im berkata, Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi dengan 193 perkahwinan, diikuti Selangor (133), Kedah (126), Terengganu (115), Johor (73), Sabah (63), Pahang (51), Perlis (39), Negeri Sembilan (38), Wilayah Persekutuan (27), Melaka (19) dan Pulau Pinang (4).
BACA LAGI: Diam-diam nikah gadis bawah umur, ketua kampung 'hilang' lepas malam pertama
BACA LAGI: Buruh didakwa rogol anak kandung sejak 4 tahun lepas di Tanah Merah
Mohd Na’im berkata, Mahkamah Syariah diwajibkan menjalankan penilaian menyeluruh sebelum memberi kelulusan terhadap perkahwinan tersebut.
Menurutnya, berdasarkan Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, umur minimum bagi perkahwinan adalah tidak kurang daripada 18 tahun untuk lelaki dan tidak kurang daripada 16 tahun untuk wanita.
"Bagi perkahwinan bawah umur, Mahkamah Syariah diwajibkan menjalankan penilaian menyeluruh sebelum memberi kelulusan terhadap perkahwinan tersebut.
"Penilaian ini dilakukan mengikut Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Ketua Pengarah//Ketua Hakim Syarie (JKSM) Bilangan 1 Tahun 2018, berkuat kuasa sejak 28 September 2018," katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendara) di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Tahun 2024 mencatatkan penurunan ketara dalam jumlah perkahwinan bawah umur, dengan hanya 52 kes direkodkan, berbanding 512 kes pada 2023.
Penurunan itu menunjukkan usaha yang lebih berkesan dalam mengatasi isu perkahwinan bawah umur di negara ini. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram