
KEMURUNGAN selepas bersalin atau postpartum depression (PPD) merupakan satu cabaran besar sering diketepikan oleh masyarakat kerana memiliki tanggapan bahawa kelahiran bayi hanya membawa kebahagiaan.
Hakikatnya, bagi sesetengah ibu, tempoh selepas bersalin bukan sahaja mencabar secara fizikal, tetapi emosi dan mental.
Rani, 33 tahun (bukan nama sebenar), mengalami PPD selepas kelahiran anak pertama pada 2021.
Pada mulanya, beliau menyangka perasaan kosong dan keletihan dialami hanyalah sebahagian daripada keletihan menjadi ibu baharu.
Namun, apabila minggu berganti bulan, perasaan itu semakin menekan diri Rani.
"Ia seperti awan gelap menyelubungi saya... satu kesedihan mendalam dan sukar dihilangkan," katanya.
Tangisan tanpa sebab, keletihan melampau dan rasa tidak berdaya menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.
Tugas harian yang mudah seperti mandi dan makan juga terasa begitu berat sehinggakan Rani sering berasa dirinya gagal sebagai ibu.
"Orang sekeliling sering mengatakan bahawa saya sepatutnya bersyukur kerana anak adalah anugerah Tuhan, tetapi perasaan saya bertentangan.
"Saya tertanya-tanya sama ada saya benar-benar layak menjadi ibu," kata Rani.
Keadaan itu bertambah buruk apabila malamnya dipenuhi keresahan dan badannya semakin lemah akibat kurang tidur serta hilang selera makan.
Namun, selama lebih empat bulan, Rani memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu membebankan keluarganya.
Segalanya berubah apabila suaminya menemunya menangis sendirian di dalam bilik pada suatu malam.
"Suami saya adalah tonggak kekuatan. Sejak mengetahui keadaan saya, dia mengambil alih banyak tugas rumah dan menjaga anak pada waktu malam supaya saya dapat berehat.
"Hanya dengan mengetahui bahawa dia menyokong saya, ia sudah cukup membantu," katanya.
Faith Foo beranggapan membantu isteri dan menjaga bayi beri kesan positif kepada emosi seorang ibu.
Kaunselor profesional dan jurulatih kesihatan mental, Faith Foo berkata, sistem sokongan memainkan peranan penting dalam membantu memperbaiki keadaan pesakit dengan ketara.
"Membantu dalam kerja rumah dan penjagaan bayi boleh memberi kesan positif yang besar kepada emosi ibu. Mereka perlu diberikan ruang untuk berkongsi perasaan tanpa dihukum serta digalakkan mendapatkan bantuan profesional," jelasnya.
Dengan bantuan mereka, Rani mendapatkan rawatan daripada seorang ahli terapi yang pakar dalam PPD.
Diagnosis yang diberikan membantunya memahami punca emosi dan diajarkan teknik untuk mengurus tekanan serta emosi.
Terapi bukan sahaja membantu, malah menyertai kumpulan sokongan ibu baharu memberinya kesedaran bahawa dia tidak keseorangan dalam perjuangan itu.
Di Malaysia, terdapat pelbagai pusat penjagaan selepas bersalin, pusat komuniti dan NGO yang menawarkan sokongan kepada ibu yang mengalami masalah kesihatan mental selepas melahirkan anak.
Faith Foo menggalakkan ibu-ibu untuk proaktif mencari bantuan itu.
"Menyertai organisasi sebegini boleh memberikan peluang untuk mendapatkan sokongan tambahan serta membina hubungan dengan mereka yang mengalami situasi serupa," katanya.
Selain itu, amalan kesihatan mental seperti meditasi, teknik pernafasan dan penjagaan diri juga sangat penting.
Pemakanan yang sihat, senaman yang kerap serta tidur yang mencukupi boleh membantu meningkatkan kesejahteraan emosi.
"Bagi saya, meluangkan masa di luar rumah seperti berjalan-jalan di taman atau sekadar duduk di halaman rumah memberi kesan positif terhadap emosi. Mandi air suam, menjaga pemakanan dan mendapatkan tidur yang cukup turut membantu dalam proses pemulihan saya," kongsi Rani.
Kajian pada 2022 mengenai kemurungan perinatal mendapati bahawa satu daripada tujuh ibu baharu mengalami gangguan itu ketika hamil atau dalam tempoh setahun selepas melahirkan anak.
Kajian diterbitkan dalam National Library of Medicine menyatakan bahawa kemurungan itu boleh menjejaskan kesejahteraan ibu dan bayi jika tidak dirawat.
"PPD lebih daripada sekadar 'baby blues'," kata Foo.
Jika perasaan sedih dan keresahan berlarutan lebih dari dua minggu, ia mungkin petanda PPD dan memerlukan perhatian profesional.
Beliau menjelaskan bahawa perubahan hormon selepas bersalin, seperti penurunan mendadak estrogen dan progesteron, ditambah dengan keletihan dan perubahan fizikal, boleh mencetuskan kemurungan itu.
PPD juga boleh meningkatkan risiko ibu mengalami gangguan keresahan dan obsesif-kompulsif (OCD).
Diagnosis PPD dibuat melalui penilaian klinikal dan soal selidik seperti Edinburgh Postnatal Depression Scale (EPDS).
Sejarah kesihatan mental seseorang ibu juga perlu dipertimbangkan kerana ia adalah faktor risiko yang penting.
Rawatan bagi PPD bergantung kepada tahap keterukan gejala. Bagi kes ringan, perubahan gaya hidup seperti bersenam, menjaga pemakanan dan tidur yang cukup sudah memadai.
Namun, terapi seperti Cognitive Behavioural Therapy (CBT) dan Interpersonal Therapy (IPT) boleh membantu menangani tekanan emosi dengan lebih berkesan.
Dalam kes yang lebih serius, ubat-ubatan mungkin diperlukan, namun penggunaannya perlu dirujuk kepada doktor, terutamanya bagi ibu yang menyusukan bayi.
Foo menekankan kepentingan langkah pencegahan seperti merancang sokongan selepas bersalin, menangani masalah kesihatan mental yang sedia ada serta mengutamakan penjagaan diri.
"Saringan mental secara rutin dan perkhidmatan kaunseling yang mudah diakses perlu dimasukkan dalam penjagaan kesihatan ibu selepas bersalin. Ini bagi memastikan kesejahteraan mental ibu sentiasa diberi perhatian," katanya.
Jika tidak dirawat, PPD boleh memberi kesan jangka panjang dan meningkatkan risiko ibu mengalami kemurungan pada kehamilan seterusnya.
"Inilah sebabnya mengapa intervensi awal dan penjagaan berterusan sangat penting untuk memastikan kesejahteraan mental jangka panjang ibu," tambah Foo.
Melalui perjalanan pemulihannya, Rani menemui kekuatan dalam dirinya yang tidak pernah disedari sebelum ini.
"Saya sedar betapa kuatnya diri saya. Saya telah melalui sesuatu yang sangat mencabar dan berjaya mengatasinya."
Pengalaman itu juga menjadikannya lebih prihatin terhadap keluarga serta ibu-ibu lain yang mungkin menghadapi situasi serupa.
"Hari ini, saya adalah ibu kepada dua anak perempuan dan bersyukur setiap hari atas sokongan keluarga saya.
"Saya juga telah belajar untuk lebih berlembut dengan diri sendiri. Tidak mengapa untuk tidak sempurna dan tidak mengapa untuk tidak okay kadangkala," katanya. — The Star/DHIVYA DANIELLE
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram