
MEMILIKI anak adalah impian yang dinantikan bagi kebanyakan pasangan suami isteri termasuk Elislie.
Selepas 20 tahun penantian bersama suami tercinta, wanita tersebut melahirkan anak pertamanya ketika usianya menginjak 47 tahun.
Kisah inspirasi itu dikongsikan Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Benediktus Arifin daripada Morula IVF menerusi laman Instagram miliknya, @drbennyarifin.
BACA LAGI: Simbolik usia Tunku Azizah, TAFF taja 65 pasangan jalani rawatan IVF
BACA LAGI: Kerabat diraja berjiwa rakyat, ini antara 5 momen menarik Permaisuri Agong
“Ya ALLAH, dalam usia 47 tahun anak pertama lahir, 20 tahun penantian! Saya tidak dapat menahan emosi.
"Meski wajah sudah ditutup dengan pelitup muka dan jubah pembedahan, hati masih berdebar-debar dan membuatkan keringat dan air mata seolah-olah memenuhi tubuh saya,” tulisnya.
Kongsinya, anak pertama Elislie lahir pada 10 Februari lalu di Morula IVF, Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.
Beliau mengakui, dirinya begitu terkesan dengan perjalanan pasangan tersebut dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata.
“10 Februari 2025 adalah momen sukar dilupakan. Saya menulis ini sambil masih merinding (tegak bulu roma) apabila mengingat kembali perjalanan dan perjuangan pasangan luar biasa ini,” katanya.
Ujar Dr. Benny, tuhan telah memberi jalan kepadanya untuk menjadi doktor kandungan dan membantu pasangan tersebut melalui rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
Elislie, yang sudah menjalani rawatan IVF sebanyak tiga kali termasuk di Malaysia juga pernah hampir berputus asa lantaran segala inisiatif dilaksana tidak berjalan seperti dirancang.
Untuk rekod, Elislie menjalani rawatan IVF bermula pada 2008 dan dijalankan bersama penyanyi Indonesia, Inul Daratista. Walau bagaimanapun, usaha pertama pasangan itu tidak membuahkan hasil.
“Elislie juga melalui lapan kali prosedur inseminasi dan dua kali pembedahan miomektomi, sebelum akhirnya kami bertemu di Morula IVF Surabaya," ceritanya.
Sehingga pada 2024, mereka menjalani prosedur embryo euploid transfer di Morula IVF Surabaya dan akhirnya berjaya hamil dengan keadaan yang sihat.
Pada 10 Februari 2025, bayi mereka, Cheryll, dilahirkan dengan berat 3.64 kilogram (kg) dan setinggi 51 sentimeter.
Dr. Benny mengakui terharu apabila mengetahui pasangan tersebut menamakan anak mereka dengan nama yang sama seperti anak perempuannya, Cheryll. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram