Gara-gara teman wanita minta lakukan ujian simulasi bersalin, seorang lelaki terpaksa jalani pembedahan buang usus kecil


  • Benua
  • Selasa, 04 Mac 2025

Seminggu selepas kejadian, lelaki itu dimasukkan ke hospital akibat sakit perut yang semakin teruk.

SEORANG lelaki di China dimasukkan ke hospital dan terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang usus kecil selepas melakukan simulasi bersalin selama tiga jam atas permintaan teman wanitanya.

Menurut laporan portal berita NetEase News, wanita dari wilayah Henan di China Tengah itu membawa teman lelakinya ke pusat simulasi bersalin sebagai 'ujian' sebelum melangsungkan perkahwinan.

Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu memberitahu, ibu dan kakaknya berpendapat, teman lelaki perlu merasai cabaran dihadapi wanita sebelum bertunang bagi membuktikan cinta mereka.

BACA LAGI: Tiada ubat tapi ada petua atasi gangguan Sindrom Rengsa Usus

BACA LAGI: Malaysia perlu tempoh 2 lagi penggal kerajaan sebelum capai status Harimau Asia

Difahamkan, lelaki itu pada awalnya menolak idea tersebut, namun akhirnya mengalah dan menerima cabaran berkenaan.

Simulasi itu menggunakan arus elektrik untuk merangsang kulit dan otot, meniru kesakitan kontraksi rahim ketika bersalin.

Ujar wanita itu, tahap kesakitan ditingkatkan secara manual selama 90 minit pertama, sebelum dibiarkan pada tahap maksimum sepanjang baki sesi.

"Teman lelaki saya mula menjerit dan bergelut pada tahap lapan, mengeluarkan kata-kata kesat dan menangis pada tahap 10, dan pada akhirnya dia tercungap-cungap.

"Kakak dan saya terus mengesat peluhnya," katanya.

Selepas sesi simulasi, lelaki tersebut keletihan dan mengalami sakit perut serta muntah.

Wanita itu menjelaskan kepada teman lelakinya bahawa dia dan keluarga tidak berniat untuk menyakitinya, sebaliknya hanya ingin lelaki tersebut memahami kesulitan bakal dihadapi isterinya kelak.

Namun, seminggu selepas kejadian, lelaki itu dimasukkan ke hospital akibat sakit perut yang semakin teruk.

Doktor mendapati sebahagian usus kecilnya telah rosak teruk dan tidak boleh dipulihkan.

Ibu teman lelakinya memberi amaran supaya wanita itu tidak melawatnya di hospital, sambil memaklumkan mereka telah membatalkan pertunangan dan akan menyamannya.

Jelas wanita itu, dia bersedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya, asalkan teman lelakinya sembuh.

Setakat ini, keadaan lelaki tersebut masih belum didedahkan secara rasmi.

Seorang peguam berkata, jika penilaian kecederaan mengaitkan kerosakan pada tubuh lelaki itu dengan simulasi bersalin, teman wanitanya boleh dipertanggungjawabkan secara kewangan.

Di China, sesiapa yang menyebabkan kecederaan peribadi diwajibkan untuk membayar pampasan bagi kos perubatan, penjagaan, pengangkutan, pemakanan dan pemulihan lain. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram