Malaysia perlu tempoh 2 lagi penggal kerajaan sebelum capai status Harimau Asia


  • Bizz
  • Selasa, 30 Jul 2024

Shankaran berkata, meskipun negara dilihat memiliki potensi mencapai sasaran itu, masih banyak perkara perlu dilakukan kerajaan. — Gambar hiasan

PENGANALISIS ekonomi menjangkakan Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya tempoh dua penggal pentadbiran sebelum boleh menjadi kuasa ekonomi Asia sekali gus mencapai status sebagai negara Harimau Asia.

Ahli Ekonomi yang juga Felo Pelawat di Sekolah Dasar Awam Crawford, Universiti Kebangsaan Australia, Dr Shankaran Nambiar berkata, meskipun negara dilihat memiliki potensi mencapai sasaran itu, masih banyak perkara perlu dilakukan kerajaan.

Ujarnya, pada waktu ini, usaha perubahan yang digerakkan oleh pentadbiran negara juga disifatkan masih belum mencapai tahap memuaskan khususnya dalam sektor penting seperti pasaran pekerjaan, pendidikan, kesihatan, pelaburan dan sistem perkhidmatan awam.

BACA LAGI: Lebih 60 tahun tak banyak berubah, tiba masa semak semula prinsip persempadanan kawasan pilihan raya

BACA LAGI: Siasatan kapal selam Scorpene: SPRM jumpa petunjuk baharu

"Masih ada banyak yang kena buat. Antaranya kena tingkatkan kepakaran dan bakat pekerja serta mudahkan proses untuk pelaburan di Malaysia.

"Buat masa ini gaji pekerja kita juga lebih kurang, jadi kena improve produktiviti dan bayaran kepada pekerja. Satu lagi kena ambil tindakan untuk tambah nilai teknologi yang kita guna.

"Selain daripada itu, kena naikkan taraf perkhidmatan sosial dan penjagaan kesihatan. Kalau nak jadi ekonomi maju, sikap dan pemikiran rakyat juga perlu setaraf," katanya kepada Majoriti.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia dijangka memerlukan sekurang-kurangnya tempoh 10 tahun sebelum mencapai status kuasa ekonomi Asia dengan syarat kesemua penambahbaikan tersebut berjaya dilaksanakan dengan baik.

1110131

Ahli ekonomi, Dr Shankaran Nambiar

Pada Jumaat, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tinjauan positif daripada penganalisis dan agensi penarafan dan disokong angka ekonomi memberangsangkan memberi petunjuk Malaysia sedang mencatat kemajuan ketara untuk mendapatkan semula status Harimau Asia.

Amir Hamzah berkata, beliau juga telah menerima maklum balas positif berhubung prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh semasa pertemuan dengan pelabur dan penganalisis, mereka menyatakan keyakinan mengenai pertumbuhan masa depan negara.

Untuk rekod, terma ‘Harimau Asia’ popular digunakan pada 1980-an dan 1990-an untuk menggambarkan kepesatan ekonomi di empat negara Asia iaitu Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Hong Kong.

Shankaran berkata, Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) bukan satu-satunya petunjuk bagi menentukan kedudukan Malaysia sebagai Harimau Asia.

"Biasanya orang hanya kira KDNK. Bagi saya itu adalah satu kesilapan. Kalau nak menjadi kuasa utama di Asia semua aspek pun kena jadi capai status yang tinggi, termasuk pendidikan, akses kepada penjagaan kesihatan, pentadbiran yang cekap dan ketersediaan tenaga mahir.

"Kena ada satu transformasi yang mendalam dan menyeluruh," ujarnya.

Adakah Malaysia pernah mencapai menjadi Harimau Asia?

Terdahulu, menyentuh mengenai kenyataan Amir Hamzah, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Malaysia tidak pernah mencapai Harimau Asia seperti mana didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li menerusi satu temu bual bersama media tempatan berkata, Malaysia tidak boleh dianggap ‘Harimau Asia’ memandangkan negara membiayai hampir keseluruhan projeknya termasuk empangan dan lebuh raya disebabkan pelabur asing menjauhi Malaysia.

Sehubungan itu, beliau yang berkhidmat sebagai menteri kewangan dari 1976 hingga 1984 memberi peringatan agar kerajaan tidak bersandar kepada ilusi dalam hal tersebut.

Ahli ekonomi yang juga Profesor Kehormat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Datuk Dr Madeline Berma berkata, terdapat empat kriteria utama bagi membolehkan sesebuah negara itu mendapat status negara Harimau Asia.

Ia adalah pertumbuhan ekonomi negara yang sangat pesat, dengan KDNK melebihi 7 peratus setahun, pematuhan kepada kepercayaan Konfusianisme klasik, defisit hutang negara yang rendah berbanding KDNK, dan kepimpinan yang baik.

Menerusi laporan Sinar Harian, beliau berkata, jika merujuk kepada The Flying Geese theory, Malaysia sebenarnya berada di lapisan ketiga negara paling maju di Asia yang diterajui Jepun dan diikuti oleh empat negara yang sebelum ini disebut sebagai Harimau Asia.

Di manakah tahap Malaysia untuk mencapai status Harimau Asia?

Antara aspek utama ditekankan dalam usaha Malaysia mencapai status Harimau Asia adalah daya saing ekonomi dalam menarik pelaburan, kualiti perkhidmatan kerajaan dan pendidikan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, Malaysia ketika ini mempunyai cabaran besar untuk mengukuhkan daya tahap saingnya di peringkat global.

Tengku Razaleigh Hamzah arrived at Umno division chiefs meeting at Menara Dato Onn in PWTC. AZMAN GHANI / The Star

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, dalam tempoh sejak 10 tahun lalu, negara turut merekodkan kemerosotan dalam kedudukannya di ranking Indeks Daya Saing Global apabila jatuh ke tangga 34.

Menurut Noor Azlan daripada empat kategori daya saing, hanya segmen prestasi ekonomi yang menunjukkan Malaysia berada di kedudukan yang baik iaitu di tangga kelapan manakala tiga kategori lain iaitu kecekapan kerajaan, perniagaan dan infrastruktur serta pendidikan masing-masing berada di tangga ke-33, 40 dan 35.

"Semuanya jatuh secara berterusan, tidak boleh dibiar jatuh lagi. Berbanding tahun 2014, 17 dari 20 sub-petunjuk daya saing telah jatuh, 13 dari sub-petunjuk ini kini berada lebih rendah dari tangga ke-30.

"Tiga terendah ialah pendidikan, perundangan perniagaan serta produktiviti dan kecekapan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sasaran Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan daya saing negara ke tangga ke-12 Indeks Daya Saing Global.

Noor Azlan berkata, sasaran untuk meningkatkan daya saing itu bukan sesuatu mustahil untuk dicapai memandangkan Malaysia pernah berada di tangga ke-12 pada 2014.

"Sasaran untuk menjadikan Malaysia di kedudukan 12 teratas di dunia adalah satu sasaran yang sangat penting untuk Malaysia muncul sebagai jaguh Asia. Saya menyokong sasaran ini.

"Status yang saya laporkan ini bukanlah rumusan untuk Ekonomi Madani, kita masih ada sembilan tahun lagi. Kedudukan daya saing negara yang membimbangkan ini menuntut kita segera bertindak bagi menjayakan Ekonomi Madani. Ini misi negara kita.

"Kita mesti menerima status ini, mengiktiraf kejatuhan dan menjadikannya satu desakan untuk kita lebih agresif, berfokus dan komited. Hakikatnya ini adalah ‘peluang’ untuk kita semua bangun dengan pantas," ujarnya.

Tegas Noor Azlan, baki sembilan tahun adalah tempoh cukup untuk Malaysia kembali ke tangga ke 12 di dunia dengan syarat Kerajaan dan negara memulakan tindakan ke arah itu bermula dari sekarang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram