[VIDEO] Tradisi berkompang kejut sahur dari Indonesia makin trend di Tawau, tak salah tapi jangan sampai ganggu ketenteraman


  • Tular
  • Isnin, 03 Mac 2025

Tangkap layar sekumpulan lelaki menjalankan tradisi kejut sahur beramai-ramai di Tawau.

BUDAYA kejut sahur beramai-ramai sambil bergendang diiringi paluan kompang merupakan tradisi turun-temurun sebahagian penduduk di negara jiran, Indonesia.

Turut dimeriahkan dengan nyanyian, tradisi itu bertujuan mengajak masyarakat Islam di kawasan setempat bangun untuk bangun bersahur di bulan Ramadan.

Namun, beberapa tahun kebelakangan menyaksikan tradisi itu semakin popular di Tawau, Sabah dengan sebuah kumpulan khas telah ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Main TikTok atau baca surah', tindakan wanita buat live solat tarawih terima kecaman

BACA LAGI: Penceramah bebas tolak tradisi beduk sahur, mufti tegaskan tak lawan hukum syarak

Perkongsian video tular di laman Facebook pada Isnin memaparkan tradisi terbabit disambut meriah oleh sekumpulan lelaki yang tampil bergendang dan bergitar di sebuah perkampungan Tawau.

Meskipun nampak meriah, tradisi itu tidak lari daripada mendapat kritikan warga maya khususnya penduduk di Tawau yang kurang bersetuju dengan tradisi berkenaan.

Menganggap ia sebagai trend dari Indonesia, segelintir individu berpendapat tindakan sedemikian hanya mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman masyarakat pada dini hari.

"Bila masa ada tradisi ini, dulu tiada pun guna pembesar suara kejut sahur guna kompang, tolong jangan bawa masuk budaya luar masuk sini, Konoha (Indonesia) ka tradisi kamu," kata Edward Danel.

"Indonesia style, waktu dulu-dulu tiada begini, membesar dah anak-anak warga Indonesia di Sabah, terbawa-bawa budaya mereka di sini," ujar Vin Syem.

"Ini lah jadinya apabila warga asing Indonesia mendominasi Pantai Timur Sabah, budaya mengarut pun nak diikuti di Sabah," tambah Charlie Foxtrot.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dilaporkan berpendapat hal itu tidak seharusnya ditolak atau diterima secara mutlak.

Jelasnya, mana-mana ajaran Islam sentiasa diraikan dan tidak boleh secara mutlak dilarang atau digalakkan, sebaliknya bergantung dengan realiti yang ada.

"Tradisi ini kita lakukan secara tidak mengganggu (awam). Kalau mengganggu, boleh menimbulkan ketidaktenteraman, jadi tidak bolehlah.

"Macam dulu nak solat kita pakai beduk, jadi saya ingat perkara ini tidak akan mengganggu masyarakat sebab tradisi ketuk-ketuk ini bukan bising macam muzik-muzik rock," katanya.

"Pengalaman saya di Mesir dahulu, memang ada kejutkan orang untuk bangun bersahur, mereka guna alat muzik yang diperbuat daripada buluh, sesetengah itu pakai gendang kecil, jadi kita pun bangun dalam pukul 3.30 pagi," katanya kepada Majoriti.

Menganggap tradisi yang turut diraikan di negara lain itu mampu menghidupkan bulan Ramadan, isu gangguan menurutnya tidak seharusnya berbangkit memandangkan banyak perkara lain yang lebih menimbulkan gangguan seperti bermain mercun dan bunga api. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram