Teguran air manis jadi perdebatan, Dr. Rafidah terus ingatkan bahaya makanan, minuman tak sihat


  • Sihat
  • Isnin, 03 Mac 2025

Teguran Dr. Rafidah (kiri) terhadap kandungan dikongsikan di media sosial Khairul Aming (kanan) mencetuskan perbincangan hangat.

SABAN tahun hampir rakyat Malaysia khususnya yang menyambut Ramadan pasti ternanti-nantikan video masakan yang sesuai dijadikan hidangan berbuka puasa.

Fenomena tersebut semakin meriah dengan kehadiran pempengaruh masakan yang tidak pernah gagal berkongsi idea-idea resipi menarik.

Antara pempengaruh yang ditunggu-tunggu termasuklah Khairul Aming dan pencipta kandungan masakan, Che Sayang Kitchen.

BACA LAGI: Terima ucapan penghargaan PM New Zealand, Khairul Aming jadi pilihan pegang jawatan Exco Pelancongan

BACA LAGI: Terima ucapan penghargaan PM New Zealand, Khairul Aming jadi pilihan pegang jawatan Exco Pelancongan

 

 

Tidak hanya tertumpu pada makanan, kedua-dua pempengaruh itu juga tidak ketinggalan berkongsi resipi minuman menyegarkan untuk sebagai sajian berbuka puasa. 

Perkongsian itu bagaimanapun mendapat perhatian Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi, Dr. Rafidah Abdullah, yang menegaskan bahawa pengambilan minuman mengandungi kandungan gula tinggi berisiko mengakibatkan kencing manis dan obesiti.

Berkongsikan semula video resipi Khairul Aming menerusi satu ciapan di laman X (Twitter) miliknya, beliau berkata, berbuka dengan minum air kosong sahaja sudah mencukupi untuk menghilangkan dahaga.

"Saya berbuka air kosong. Alhamdulillah hilang juga hausnya, tiada risiko kencing manis," tulisnya pada Ahad.

Tidak hanya itu, Dr. Rafidah turut berkongsikan semula video kepunyaan Che Sayang Kitchen yang memaparkan dua menu air berbuka ketika Ramadan.

Ciapan tersebut kemudian mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan warga maya, dengan kebanyakannya tidak bersetuju dengan cara teguran yang dibuat Dr. Rafidah.

Antara komen yang ditinggalkan pengguna laman X di akaun Dr. Rafidah.

Malah, ada yang berpendapat, pakar perubatan yang sememangnya terkenal dengan kelantangan bersuara itu seharusnya menegur secara lebih baik, tanpa menyakiti hati mana-mana pihak.

"Bukankah elok kalau buat tweet lain, ingatkan masyarakat walaupun ramai nak minum air manis, lebih baik minum sesuatu lebih sihat dan masih boleh rasa kenyang.

"Saya tahu anda (Dr. Rafidah) mungkin fikir ini susah, tapi bukan perkara mustahil untuk menjadi sihat dan dalam masa sama tidak 'membunuh' kegembiraan (joy killer)," ujar @hola_tristia.

Bagaimanapun tidak sedikit juga yang bersetuju dengan teguran Dr. Rafidah dan mengganggap pempengaruh seharusnya mendidik masyarakat ke arah pemakanan lebih sihat.

"Bukan asal Ramadan saja, all about resipi makan dan minum yang tak sihat. Ramadan dah lari objektif. Patut ambil peluang mendidik," ciap @musbakhtia.

"Sebenarnya kalau circle kita ada orang (hidap) kencing manis kita akan rasa benda macam ini sangat penting dan perlu ada kesedaran, supaya tak menyesal kemudian," kata @Arezhami.

Dalam ada itu, Dr. Rafidah berkata, ramai masyarakat yang sudah sedar tentang bahaya makanan dan minuman tidak sihat.

"Saya akan terus mengingatkan semua, tentang bahayanya makanan dan minuman tidak sihat (contoh air warna warni) setiap kali lalu TL (timeline)," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram