Pengalaman berkelana 6 negara cetus idea bekas pemain tenis negara wujud agensi bantu urus karier, kebajikan atlet


  • Bizz
  • Rabu, 09 Apr 2025

Mohd Faizal (kiri) ketika menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ke gelanggang pickle ball yang dikendalikan ESM Internationale. — ESM Internationale

KETIKA berkelana selama beberapa tahun di luar negara sebagai jurulatih profesional, bekas pemain tenis negara, Mohd Faizal Othman mengutip pengalaman cukup bermakna mengenai ekosistem dan pengurusan atlet sukan di negara terbabit.

Di negara tersebut, beliau melihat bagaimana mereka membina sistem latihan berstruktur, sokongan atlet dari akar umbi hingga ke tahap profesional meliputi kesinambungan dalam pembangunan karier hingga ke peringkat persaraan.

Pendedahan itu kemudiannya mencetuskan idea untuk Mohd Faizal menubuhkan syarikat agensi sukan, Echo Sports Management (ESM) Internationale selepas beliau kembali ke tanah air pada 2015.

BACA LAGI: Pesanan TMJ jadi azimat, Kopi Rakyat bawa anak kelahiran Kuantan dari jalanan ke pusat beli-belah

BACA LAGI: Status agama dipersoal lepas peluk Islam, ketekalan Mohd. Chan terbalas perniagaan rangkaian restoran terus berkembang cecah 2 dekad

Perkhidmatan ditawarkan ESM Internationale antara lain melibatkan pelbagai aspek dalam pengurusan karier dan kebajikan atlet termasuk dalam hal berkaitan penajaan.

Selain itu, syarikat terbabit turut bertanggungjawab menganjurkan acara sukan di samping memiliki hab gelanggang ESM Pickster Club di Kuala Lumpur bagi sukan pickle ball.

Mohd Faizal (kanan) mengasaskan ESM Internationale pada 2015. — ESM Internationale

Berkongsi kepada Majoriti, Mohd Faizal berkata, antara motivasi utamanya dalam menjalankan perniagaan terbabit adalah bagi membantu menangani cabaran dihadapi atlet khususnya di Malaysia untuk menguruskan karier selepas persaraan.

"Sebab saya pernah enam tahun di luar negara antaranya di China, Rusia, India, Thailand, Turkmenistan dan India. Jadi, saya tengok sendiri bagaimana bekas atlet yang pernah bermain di negara mereka, apabila tamat karier, mereka sebenarnya boleh ada kehidupan yang bagus.

"Jadi apabila saya balik pada 2015, saya belajar daripada mereka dan cakap dekat diri, saya pun bekas pemain negara dan saya tahu situasi dan apa dihadapi oleh atlet Malaysia dahulu.

"Jadi, ESM Internationale ini ingi membantu atlet negara mengenai keperluan harus disediakan selepas karier mereka tamat.

"Sebab kalau kita tengok, 80 peratus hingga 90 peratus atlet luar kebanyakannya selepas habis karier akan memiliki akademi atau bisnes sendiri di samping simpanan mencukupi daripada penajaan atau sumber pendapatan lain," ujarnya yang turut memegang sijil Global Professional Tennis Coach Association (GPTCA) yang diiktiraf Persatuan Tenis Profesional (ATP).

"Jadi, ini saya rasa atlet Malaysia perlu tahu benda-benda ni. Jadi, di situlah perkhidmatan ESM Internationale cuba tawarkan," jelasnya yang kini turut beraksi sebagai pemain pickle ball profesional.

Untuk rekod, sepanjang bergelar pemain profesional negara, Mohd Faizal mengecapi beberapa kejayaan antaranya layak ke kejohanan ATP 250 World Tour dan berada di kelompok lima pemain terbaik Malaysia pada 2005.

Mohd Faizal kini beraksi sebagai pemain pickle ball profesional.

Sementara itu, kariernya dalam bidang kejurulatihan juga tidak kurang hebat apabila dilantik menjadi Ketua Jurulatih Pasukan Piala Davis Turkmenistan dan Penolong Pengarah Tenis di Harvest Tennis Academy di India.

Beliau juga pernah memegang jawatan selaku Pengarah Tenis di AMB Sports Management Ltd. di Shanghai dan Ketua Jurulatih Pasukan Wilayah Vladivostok, Rusia.

Selain pengurusan atlet, ESM Internationale turut menawarkan perkhidmatan khidmat nasihat sukan, pelaburan, penganjuran acara, pemasaran, perundangan, latihan dan pengurusan fasiliti.

Capaian pelanggannya turut meliputi atlet, badan dan organisasi sukan merentas pelbagai negara termasuk Malaysia, Indonesia, Myanmar, Thailand, Kemboja dan di Eropah.

Dalam pada itu, Mohd Faizal, 41, berkata, kewujudan agensi sukan sememangnya penting khususnya dalam membawa industri sukan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggit.

"Sukan Malaysia khususnya atlet negara memanf ada potensi untuk ke tahap lebih tinggi dengan mencipta nama di luar negara.

"Cuma di Malaysia, saya lihat kita perlu pihak ketiga untuk membantu KBS dan MSN untuk usaha ke peringkat seterusnya.

"Kita tak boleh mengharapkan 100 peratus kepada agensi kerajaan," katanya yang menekankan kepentingan rangkaian dimiliki agensi sukan bagi membantu atlet mengembangkan nama di luar negara.

Natasha merupakan antara atlet yang berada di bawah ESM Internationale.

Ketika ini, antara atlet yang berada di bawah ESM Internationale ialah bintang boling negara, Natasha Roslan yang baru sahaja menjuarai Piala Dunia Persatuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.

Di peringkat Asia, ia turut menguruskan pemain badminton wanita profesional dari Myanmar, Thet Htar Thuzar yang kini berada di kedudukan ranking ke-43 dunia.

Selain itu, ESM turut menguruskan sembilan pemain pickle ball profesional di bawah pasukan ESM Pro Team.

Mengurus peralihan atlet ke persaraan

Di sebalik populariti dan kejayaan dikecapi semasa aktif dalam arena sukan, ramai atlet Malaysia dilapor berdepan cabaran meneruskan hidup selepas persaraan.

Malah, negara juga sering kali dihidangkan dengan berita mengenai kisah bekas atlet negara yang mengalami kesukaran kewangan untuk menampung kehidupan.

Mohd Faizal berkata, ESM Internationale turut memberikan tumpuan dalam menyediakan khidmat nasihat buat atlet bagi menguruskan peralihan dalam karier masing-masing.

"Di situ kita sediakan khidmat rundingan kepada atlet apa yang mereka perlu buat selepas bersara kerana setiap atlet ini sudah ada waktu durasi yang mana mereka akan aktif dan bermain.

"Kemudian atlet juga tak boleh harapkan kerajaan sebab mereka juga perlukan dana atau sumber lain untuk pendapatan mereka.

"Kita juga beri panduan kepada atlet di bawah ESM cara untuk cari penajaan dan juga buat simpanan untuk di kemudian hari," jelasnya.

"Kita nak mereka ini ada sesuatu perkara boleh dilakukan selepas bersara.

"Bukan setakat jadi jurulatih sahaja, tetapi juga benda lain seperti buat perniagaan jalankan akademi dan sebagainya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram