
USAHAWAN Tya Arifin, 31, berkongsi gambaran perbezaan tradisi dan suasana berpuasa di Malaysia dan Indonesia, yang masing-masing menawarkan pengalaman unik tersendiri.
Pelakon berasal dari Palembang, Indonesia itu mengakui, terdapat beberapa hal yang mengejutkannya apabila pertama kali menyambut Ramadan di Malaysia.
Menurut beliau, antaranya adalah ketika mengetahui individu beragama Islam yang tidak berpuasa di tempat awam tanpa alasan kukuh boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk denda dan hukuman penjara.
BACA LAGI: [VIDEO] Idam 3 anak sebelum usia 30, Tya Arifin dedah pernah keguguran ketika bercuti di Turkiye
"Asyraf (suami) memberitahu kalau di sini jika ada yang buka puasa atau batal puasa (di tempat awam), akan ada polis bawa kita ke van jenazah.
"Pada mulanya, saya terkejut dan tidak percaya, namun setelah melihat berita mengesahkan perkara tersebut, barulah saya percaya bahawa peraturan tersebut memang ada," katanya menerusi satu perkongsian di Instagram miliknya, @tyaarifinnw pada Isnin.
Ujarnya, situasi agak berbeza di Indonesia yang lebih terbuka dalam hal tersebut.
Di Indonesia jelas Tya atau nama lengkapnya, Nurtria Wulandari Arifin, apabila seseorang makan pada waktu siang, ia mungkin disebabkan oleh alasan tertentu.
"Di Indonesia lebih terbuka, tetapi di Malaysia lebih teratur dan ketat," katanya.
Selain itu, pengalaman berpuasa di Malaysia juga memberikan perbezaan ketara dari segi bazar Ramadan buat ibu kepada tiga anak itu.
Menurutnya, bazar di Malaysia lebih banyak dan besar berbanding negara kelahirannya, khususnya di Palembang.
Tya (kiri) bersama anak keduanya, Azzahra Jiwa. — Tya Arifin
Menyentuh tentang sahur pula, kata Tya, kedua-dua negara serumpun itu juga memiliki suasana yang berbeza.
"Di Palembang sahur biasanya diiringi oleh bunyi bising seperti gong atau gendang yang dimainkan oleh sekumpulan anak kecil.
"Walaupun bising, ia memberi suasana yang meriah untuk mengejutkan orang bangun sahur.
"Namun, di Malaysia, suasana sahur lebih tenang. Mungkin sebab saya menetap di Kuala Lumpur. Kalau di Perak, Kedah atau Pulau Pinang mungkin ada cara yang berbeza, tetapi secara keseluruhannya suasana lebih tenang,” kongsinya.
Sementara itu, Tya yang juga selalu berkongsi tip keibubapaan turut menceritakan pengalamannya berpuasa dalam tempoh sedang menyusu badan di samping menguruskan rutin harian anak-anaknya.
Tya berkongsi pengalaman berpuasa dalam tempoh sedang menyusu badan di samping menguruskan rutin harian anak-anaknya. — Tya Arifin
Sebelum ini Tya yang mengusahakan perniagaan Jamu Mutyara bersama suami memilih untuk tidak berpuasa kerana melunaskan tanggungjawab ibu menyusu badan.
Bagaimanapun, kali ini beliau nekad berpuasa walaupun bayinya, Aghnia Amira Jiwa baru berusia lebih dua bulan.
Untuk rekod, Tya mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan Malaysia, Asyraf Khalid, 32, pada 1 November 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Arif Jiwa, Azzahra Jiwa dan Aghnia Amira Jiwa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram